Kunjungan Manchester United ke The American Express Community Stadium tidak berjalan seperti yang diharapkan apabila skuad bimbingan Jose Mourinho itu tewas 3-2 ketika bertemu Brighton & Hove Albion.
Kekalahan hanya selepas dua perlawanan dilalui bagi kempen Liga Perdana Inggeris 2018/19 itu menambahkan lagi api kemarahan para penyokong United terhadap taktikal pengendali dari Portugal tersebut.
Walaupun mengawal permainan, para pemain The Red Devils seolah-olah kekurangan idea bagi mengilhamkan peluang untuk memburu jaringan pada perlawanan itu.
Selepas terikat tanpa jaringan pada hampir 25 minit permainan, tuan rumah menyentap ego Mourinho dan United dengan dua jaringan dalam jarak masa dua minit.
Gol pembukaan dicipta Glenn Murray selepas penyerang berusia 34 tahun itu melakukan kuisan cantik dari jarak dekat bagi menembusi kawalan David De Gea.
Dua minit kemudian, giliran pemain pertahanan, Shane Duffy pula menjelmakan kegembiran buat para penyokong selepas beliau menolak masuk bola hasil hantaran Anthony Knockaert bagi melebarkan kedudukan.
Manchester United cuba bangkit memburu jaringan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-34 selepas Romelu Lukaku menanduk ke belakang bola yang pada mulanya ingin dirembat Luke Shaw untuk menghidupkan kembali peluang United untuk bangkit.
Bagaimanapun jaringan tersebut tidak dihiraukan tuan rumah untuk kembali mencipta gerakan yang memaksa Eric Bailly melakukan kesilapan dengan terjahan dalam kotak penalti terhadap Pascal Gross.
Keadaan itu memaksa pengadil perlawanan, Kevin Friend tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti buat Brighton pada lewat aksi babak pertama.
Gross yang mengambil sepakan tersebut tidak mensia-siakan peluang menambah jaringan ketiga walaupun De Gea hampir menyelamatkan sepakan tersebut menggunakan kakinya untuk babak pertama berakhir dengan keputusan 3-1.
Ketika perlawanan semakin menghampiri penghujung, Friend sekali lagi memberikan sepakan penalti tetapi kali ini diberikan kepada Manchester United selepas Shane Duffy mengasari Marouane Fellaini.
Ketua pasukan, Paul Pogba dengan tenang menyempurnakan peluang tersebut untuk merapatkan kedudukan. Bagaimanapun ia sudah terlewat buat United bagi mengelak dari menerima kekalahan pertama mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.