44 tahun. Itulah jangka masa kita harus menunggu untuk pasukan negara mencipta kemenangan ke atas Korea Selatan di Sukan Asia.
Kali terakhir Malaysia melakar kemenangan di pentas yang sama menentang Korea Selatan ialah pada 4 Ogos 1974.
Dua gol oleh Harun Jusoh dan satu lagi oleh Ali Bakar pada ketika itu, mengesahkan kemenangan 3-2 pasukan negara ke atas gergasi Asia itu.
Berikut adalah 5 perkara yang kami gariskan dalam perlawanan Malaysia menentang Korea Selatan pada malam tadi.
1. Super Pawi
3 gol daripada 2 perlawanan setakat ini, termasuk 2 gol pemusnah Korea Selatan adalah bukti tanpa sebarang keraguan, pemain ini adalah antara bintang Sukan Asia kali ini.
Safawi Rasid adalah pemain yang meningkatkan aspek permainan dan fizikal beliau dengan sangat baik sejak beberapa itahun ini.
Peluang dan minit perlawanan di JDT dimanfaatkan sebaik mungkin.
Keupayaan penyudah beliau sangat menarik. Pemain yang mempunyai keupayaan untuk bending /lencongkan bola ke far post selepas cut inside.
Beliau juga pemain yang boleh bertugas untuk bola mati.
Beliau adalah inverted Winger yang berkualiti. Sudah tentu kita mengharapkan lebih ramai pemain dibangunkan dengan kualiti teknikal seperti ini.
Beliau mengumumkan namanya di pentas Sukan Asia kepada scouting liga lain. Untuk itu, kredit juga harus diberikan kepada kelab beliau, JDT yang berjaya membangunkan pemain ini.
2. Korea Selatan pandang rendah?
Korea Selatan mungkin memandang rendah keupayaan pasukan negara dalam perlawanan ini. Buktinya, mereka tidak menurunkan bintang Piala Dunia 2018, Son Heung-Min di dalam kesebelasan utama.
Son diturunkan hanya selepas hampir sejam perlawanan berlangsung. Dan kita boleh melihat dengan jelas corak serangan Korea Selatan selepas itu sehingga berjaya menjaringkan gol.
Aspek teknikal yang dimiliki oleh Son sedikit sebanyak telah memberi masalah kepada pertahanan negara, yang bijak mencari ruang dalam ruangan yang sempit.
Selain Son, Korea Selatan juga memiliki tiga pemain Piala Dunia yang turut berada di dalam skuad ke Sukan Asia.
Penjaga gol, Jo Hyeon-woo berada di bangku simpanan. Siapa tahu, jika Jo diturunkan di dalam kesebelasan utama, gawang Korea Selatan mungkin tidak akan dibolosi seawal minit ke-5.
Dua lagi pemain Piala Dunia Korea Selatan ialah Lee Seung-woo yang beraksi bersama Hellas Verona dan Hwang Hee-chan, yang bersama Red Bull Salzburg.
3. Taktikal Ong Kim Swee
Kita tidak boleh nafikan taktikal Datuk Ong Kim Swee untuk pasukan negara berjaya memerangkap Korea Selatan dalam perlawanan ini.
Pasukan negara memulakan perlawanan ini dengan formasi biasa, 3-5-2. Namun dalam perlawanan ini, pasukan negara sentiasa berada di dalam posisi 5-3-2/5-4-1 untuk memastikan rantaian lima pertahanan di bahagian belakang.
Secara keseluruhan, pasukan negara beraksi dengan baik. Kompak di tengah, dan kerap kali memaksa lawan menghantar bola ke sisi sebelum dikeluarkan.
Namun zon 14 adalah kelemahan ketara yang perlu diperbaiki dari perlawanan ini. Acap kali Korea Selatan melepasi pertahanan pasukan negara dari kawasan ini.
Gol tunggal pasukan lawan turut dihasilkan melalui larian dari zon ini.
4. Akhyar berani
Saiz badan mungkin menjadi isu utama pemain ini, jika kita mahu bandingkan dengan pemain pertahanan Korea Selatan.
Dua langkah oleh Akhyar bersamaan dengan satu langkah oleh kapten pasukan Korea, Kim Minjae yang diarahkan untuk mengawal pergerakan pemain ini.
Namun pujian harus diberikan kepada Akhyar. Beliau berani melakukan larian bersama bola walaupun menyedari kekurangannya itu.
Tatkala rakan sepasukan lain memilih untuk mengeluarkan bola dengan melakukan clearance tanpa arah di minit akhir perlawanan, Akhyar bertindak sebaliknya setiap kali memperolehi bola.
Akhyar cuba untuk menyimpan bola selama mungkin untuk menunggu bantuan rakan, untuk melihat sama ada serangan balas boleh dilakukan.
5. Malaysia masih bernafsu
Di sebalik kesuraman saingan domestik, kami hanya mempunyai satu kesimpulan dari kemenangan ini. Bahawasanya bola sepak negara masih lagi bernafsu untuk mencipta kejayaan.
Ini juga bermakna bola sepak negara masih mempunyai harapan untuk menyinar di pentas antarabangsa.
Tidak syak lagi bahawa pasukan ini akan menjadi skuad kebangsaan sepenuhnya dalam masa terdekat.
Sepertimana kemenangan ke atas Korea Selatan, kami pasti FAM mempunyai resipi dan ramuan yang sama untuk mencongak masa depan.
Sebagaimana yang ditampilkan oleh pemain-pemain negara pada malam tadi, pertama, kita harus bulatkan tekad. Kedua, kita tahu apa yang perlu dilakukan. Mustahil kita boleh beraksi sebaik itu jika gagal memahami taktikal dan arahan.
Ketiga ialah kerjasama dan sepakat, diikuti oleh semangat yang jitu dan patriotik untuk mengharumkan nama negara.
Penutup
Tahniah anak muda negara. Kami berbangga menyaksikan sejarah ini!
Teruskan perjuangan untuk harumkan nama negara.