Diego Costa: ‘El Cholo’ Yang Memburu Pemangsa Dan Sanggup Memijak Kepala Lawan

Diego Costa hanya memerlukan 17 minit untuk diperkenalkan di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Beliau menjaringkan gol sulung untuk Chelsea di penampilan pertama menentang Burnley pada musim 2014/15, dan seraya itu turut dilayangkan kad kuning pertamanya di EPL.

Dan pada musim pertama di Stamford Bridge, Costa berjaya mencetak 20 gol keseluruhan dan turut menambah 7 lagi koleksi layangan kad kuning.

Anda mempunyai sebab untuk menggemari atau membenci pemain ini. Apapun alasan anda, kami pasti ia memadai untuk menjelaskan profail pemain ini.

Pengenalan

Diego da Silva Costa dilahirkan pada 7 Oktober 1988 di Lagarto, Brazil. Pernah gagal untuk diserapkan ke akademi bola sepak di tempat kelahirannya, Costa kemudian berhijrah ke Sao Paulo untuk bekerja di kedai runcit milik ayah saudaranya ketika berusia 15 tahun.

Di sinilah karier Costa di dalam bola sepak mulai berubah. Melalui seorang kenalan, ayah saudaranya memperkenalkan Costa kepada sebuah kelab, Barcelona Esportiva Capela.

Kad pendaftar pasukan Barcelona Esportiva Capela

“Sudah tentu saya akan menolak untuk bermain bola sepak jika tidak mendapat wang. Pakcik saya membayar saya dengan gaji yang baik pada ketika itu untuk bekerja di kedai runcit,” ujar Costa dalam satu wawancara satu ketika dahulu.

Costa beraksi bersama Barcelona Esportiva Capela dengan bayaran £100 sebagai pemain profesional.

‘El Cholo’ dari Lagarto

Walaupun di peringkat awal karier, Costa sudah mulai terpalit dengan kontroversi. Di musim pertama bersama Barcelona Capela, Costa sudah menerima hukuman pergantungan 4 bulan akibat menampar pemain lawan dan memaki pengadil.

“Saya akan melawan sesiapa sahaja. Saya tidak boleh mengawal naluri itu. Saya akan menjengkelkan sesiapa sahaja. Saya tidak akan menghormati lawan, dan bertanggapan akan membunuh mereka.”– Diego Costa

Di Sao Paulo, mereka menggelar Costa ‘El Cholo’, yang membawa makna raksasa untuk merujuk kepada kekuatan fizikal, dan semangat yang sentiasa agresif ketika aksi di atas padang.

Anda sudah pasti tidak menggemari beliau jika anda menghargai bola sepak sebagai satu permainan yang cantik (beautiful game).

Corak permainan: Provokatif dan agresif

Costa bukan Messi atau Cristiano Ronaldo. Beliau tidak memiliki kebolehan untuk menggelecek 2 atau tiga pemain untuk melepasi pertahanan lawan. Kreativiti bukan aspek kekuatan permainannya.

Tetapi Costa mempunyai kualiti lain yang tidak dimiliki oleh pemain lain pada generasinya. Sebaik perlawanan dimulakan, beliau diibaratkan seekor raksasa yang mengancam kubu lawan dengan efektif dengan agresif dan sikap yang melihat lawan sebagai musuh.

Beliau tidak akan berhenti mengejar bola, dan sanggup berbuat apa sahaja untuk menang ke atas lawan dengan wajah yang menggerunkan.

Adakalanya, aksi beliau di atas padang seolah-olah seperti satu perlawanan gusti di arena jalanan.

Costa tidak peduli siapa yang dihadapinya. Beliau akan melontarkan provokasi kepada pemain pertahanan, malah akan berhadapan dengan pemain penyerang lawan untuk menunjukkan kejaguhannya.

. (Photo by Catherine Ivill – AMA/Getty Images)

Sanggup melakukan apa sahaja juga bermakna, Costa akan melontarkan badannya seolah-olah dirinya adalah mangsa keadaan untuk menarik perhatian pengadil.

Malah Costa turut tidak teragak-agak memberi tekanan kepada rakan sepasukan yang lain untuk memaksa setiap dari mereka untuk kekal fokus mengejar kemenangan.

Dan apabila lawan mulai penat mengejar atau bertelingkah dengan beliau, di sinilah Costa akan mengambil kesempatan untuk menjaringkan gol.

Dari Sao Paulo ke Sepanyol

Walaupun didenda 4 bulan ketika bersama Barcelona Capela, aksi Costa berjaya menarik perhatian ejen sukan bola sepak terkemuka, Jorge Mendes yang memberikan konrak untuk menyertai Braga di Portugal.

Ia bukan permulaan yang mudah buat Costa di eropah. Sukar menyesuaikan diri dan gagal memperolehi peluang untuk beraksi, beliau kemudiannya dipinjamkan ke Penafiel di Divisyen Dua Portugal.

. (Photo by Nathan Stirk/Getty Images)

Penafiel dikendalikan oleh bekas pemain kebangsaan Portugal Rui Bento pada ketika itu, juga merupakan individu penting yang menggilap bakat Costa untuk bersedia dengan cabaran bola sepak eropah.

Dipanggil kembali ke Braga, gol kemenangan ke atas Parma berjaya membawa Braga ke suku akhir UEFA Europa League pada musim 2006/07.

Dan pada 10 Julai 2007 Mendes berjaya membawa Costa untuk menyertai Atletico Madrid, setelah setahun di Portugal sebelum dipinjamkan kembali kepada Braga.

(Photo credit should read KALLESTAD, GORM/AFP/Getty Images)

Lembaran baru

Sepanyol adalah habitat buat raksasa ini. Walaupun ditandatangani oleh Atletico pada 2007, kelab Madrid itu bukan kelab Sepanyol pertama yang memperolehi khidmat Costa.

Sebaik sahaja tamat tempoh pinjaman bersama Braga, Costa menyertai Celta Vigo, Albacete, dan juga Valladolid dalam tiga musim sebelum kembali menyertai Atletico.

Tetapi ianya tidak mudah buat Costa. Beliau terpaksa berebut tempat di dalam kesebelasan utama dengan Sergio Aguero dan juga Diego Forlan untuk berada di dalam kesebelasan utama Atletico.

(Photo credit should read PIERRE-PHILIPPE MARCOU/AFP/Getty Images)

Selepas dipijamkan sekali lagi kepada Rayo Vallecano, akhirnya Costa mulai mendapat tempat di dalam kesebelasan utama Atletico pada musim 2012/13.

Tampil dalam 31 perlawanan La Liga, Costa menjaringkan 10 gol sebelum tampil lebih prolifik pada musim 2013/14 dengan 35 penampilan dan 27 gol untuk membantu Atletico Madrid menafikan dominasi Barcelona dan Real Madrid pada musim tersebut dengan muncul sebagai juara.

Legenda di Stamford Bridge

Musim berikutnya Costa berhijrah ke London untuk menyertai Chelsea dengan nilai perpindahan £32 juta.

Bersama Chelsea, Costa menjuarai dua kejuaraan EPL pada musim pertama, dan juga pada musim 2016/17.

(Photo by Darren Walsh/Chelsea FC via Getty Images)

Musim terakhir bersama Chelsea dianggap paling berjaya buat penyerang ini apabila beliau menjaringkan 35 gol dari dari 35 penampilan, untuk Antonio Conte bermegah menjulang kejuaraan liga di musim pertama pengurus dari Itali itu bersama Chelsea.

Kita semua tahu apa yang terjadi selepas itu. Hubungan Conte dan Costa tidak berlalu dengan baik. Pemain itu enggan kembali ke Chelsea ketika latihan pra musim musim 2017/18.

(Photo by Guillermo Martinez/Anadolu Agency/Getty Images)

Pengurus Itali itu turut dipersalahkan dengan kontroversi ‘pesanan khidmat ringkas’ yang menyebabkan Costa enggan kembali menyarung jersi Chelsea.

Chelsea akhirnya mencapai persetujuan untuk menjual pemain ini kembali ke Atletico Madrid, dan Costa hanya kembali beraksi pada Januari selepas kelab La Liga tersebut menerima hukuman tidak dibenarkan membeli pemain pada jendela perpindahan sebelumnya.

Skuad kebangsaan

Costa pernah beraksi dengan pasukan kebangsaan Brazil pada 21 Mac 2013, dalam perlawanan persahabatan menentang Itali yang berkesudahan 2-2 di Geneva.

Empat hari kemudian, Costa sekali lagi diturunkan oleh Luis Felipe Scolari dalam perlawanan menentang Rusia di Stamford Bridge, masuk menggantikan Kaka ketika perlawanan berbaki 12 minit.

Diego Costa of Brazil in action during the International Friendly between Brazil and Russia at Stamford Bridge in London, UK. Photo: Visionhaus/Gary Prior (Photo by Ben Radford/Corbis via Getty Images)

Namun selepas memperolehi kerakyatan Sepanyol pada Julai tahun yang sama, Persatuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) telah membuat permohonan bertulis kepada FIFA untuk mendapatkan khidmat Costa untuk skuad La Roja.

Peraturan FIFA jelas menyatakan seseorang pemain tidak dibenarkan beraksi bersama negara kedua selepas melakukan penampilan dengan negara pertama kerakyatan.

Tetapi di dalam kes Costa, dua perlawanan tersebut adalah perlawanan persahabatan. Dan pada Oktober 2013, Costa secara rasmi menulis sepucuk surat kepada Persatuan Bola Sepak Brazil (CBF) untuk menyatakan niatnnya tidak mahu lagi menyarung jersi pasukan kebangsaan lima kali juara dunia itu.

(Photo by Buda Mendes/Getty Images)

“Seorang pemain kelahiran Brazil yang menilaj menyarung jersi pasukan kebangsaan dan bertanding di Piala Dunia secara automatik akan digugurkan.”

“Tindakan ini telah membelakangkan impian jutaan yang lain yang sentiasa berbangga jika diberikan peluang mewakili negara,” ujar Scolari mengenai tindakan Costa.

Pihak perundangan CBF turut kecewa dan menyifatkan tindakan oleh Costa itu disebabkan oleh faktor bayaran ketika beraksi bersama pasukan kebangsaan.

Tindakan oleh Costa itu turut dilabel oleh CBF sebagai menolak kerakyatan Brazil itu sendiri, lantas meletakkan status pemain tersebut sebagai ‘persona nan grata’ bersama skuad kebansaan.

Namun usaha CBF untuk menghalang Costa dari beraksi bersama Sepanyol gagal, apabila FIFA meluluskan usul oleh RFEF.

Nilai kemanusiaan

Tidak semuanya negatif mengenai Costa. Sikap yang ditampilkan itu sebenarnya menjadi pendorong untuk beliau kekal kompetitif.

Sebaliknya ketika berada di luar padang, Costa adalah individu biasa yang mempunyai naluri kemanusiaan seperti orang lain.

The Guardian pernah melaporkan bagaimana Costa mendermakan sejumlah wang berjumlah £50,000 kepada seorang penyokong Arsenal untuk memastikan sebuah rumah anak yatim untuk tidak ditutup.

Penutup

Insiden memijak kepala Sergio Ramos dalam saingan UEFA Super Cup pada pertengahan minggu ini sekali lagi menunjukkan karakter pemain ini.

Alah biasa tegal biasa, perkara sebegitu mungkin sudah lali bagi Ramos dan penyokong Real Madrid.

Tidak ada manusia yang sempurna. Tetapi Diego Costa menggunakan kekurangan miliknya itu untuk memburu kejayaan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN