Kini, era beliau di kelab tersebut telah pun berakhir.
Pemilik syarikat tambang murah AirAsia iaitu Tony Fernandes telah mengambil keputusan untuk turun dari jawatan beliau sebagai pengerusi Queens Park Rangers (QPR).
Menurut laporan BBC Sport, ahli perniagaan berkerakayatan Malaysia itu meletakkan jawatan bersama-sama dengan pengerusi bersama beliau iaitu Ruben Gnanalingam.
Keputusan ini dibuat selepas Tony berasakan beliau telah berjaya menyelesaikan pelbagai hal mengenai pengurusan kelab London tersebut.
Antara perkara yang berjaya diselesaikan beliau adalah isu QPR dengan peraturan UEFA iaitu Financial Fair Play Rules (FFP).
“Adalah penting untuk saya mengundurkan diri dari jawatan pengerusi Queens Park Rangers selepas berjaya menyelesaikan pelbagai isu antaranya mengenai Financial Fair Play dan juga melestarikan kelab.”
“Selain itu, kami berjaya membina sebuah akademi pemain yang kukuh selain mempunyai barisan kejurulatihan yang ampuh.”
Kata Fernandes lagi, kini telah tiba masanya untuk QPR mempunyai pengerusi baharu untuk merencana masa depan kelab selepas isu-isu terdahulu berjaya diselesaikan.
“Ianya masa yang baik untuk perubahan dilakukan kerana kelab kini sudah berada di tahap yang stabil.”
“Ia akan berikan pengerusi baharu satu asas yang baik untuk membina masa depan yang lebih baik.”
Tugas sebagai Pengerusi QPR kini akan disandang oleh Amit Bhatia.
Pelantikan Bhatia sebagai pengerusi baharu bertepatan dengan kemahuan Fernandes yang mahukan seseorang yang sering berada di London.
“Eloklah pengerusi baharu ini orang yang sentiasa berada di London.”
Fernandes menjadi pemegang hak utama QPR sejak 2011, memiliki 66% dari pegangan tersebut.