Chelsea dan Maurizio Sarri memulakan kempen Liga Perdana Inggeris dengan langkah kanan apabila berjaya menundukkan Huddersfield Town 3-0 pada perlawanan yang berlangsung di John Smith’s Stadium, semalam.
Kemenangan tersebut dibantu dua jaringan pada babak pertama menerusi N’Golo Kante dan Jorginho serta gol ketiga dihasilkan Pedro Rodriguez di minit ke-80.
Sarri merasakan Chelsea akan terus meningkat di bawah kendaliannya tetapi pengendali berusia 59 tahun itu tidak meletakkan sasaran untuk mengulangi formula kemenangan seperti dilakukan bersama Napoli.
Dengan kemenangan tersebut, Sarri turut percaya terdapat banyak lagi perkara menarik yang bakal disajikan anak buahnya.
”Saya tidak mahu menghasilkan satu lagi Napoli, saya mahu melakukan Chelsea. Saya perlu menghormati karakter para pemain, kejohanan ini dan sekarang saya sedang belajar mengenai pemain saya.”
”Ketika ini kami beruntung kerana kami boleh bekerja dengan satu perlawanan seminggu. Kami perlu meningkat pada bulan ini, kemudian menjadi sukar dengan skuad kebangsaan.”
”Saya harap bulan ini terdapat peningkatan yang dapat dilihat daripada pasukan.”
”Untuk menekan ketika menentang tiga pertahanan, kami perlu bergerak dengan bola lebih pantas. Kami melakukan dengan baik pada separuh masa kedua, terdapat lebih banyak ruang dan masa.”
Sarri turut menjelaskan sebab beliau merehatkan Eden Hazard dan hanya memasukkan bintang Chelsea itu pada minit ke-76 bagi menggantikan Willian.
”Saya merasakan pada ketika ini Eden (Hazard) tidak boleh beraksi selama 90 minit. Dia perlu untuk menjalani latihan.”
”Perkara yang bagus buatnya adalah dia untuk beraksi selama 15-20 minit ketika pemain lawan sudah kepenatan.”
”Saya sangat gembira kerana pada bahagian pertama musim ini buat kami tidak mudah untuk mendapatkan mata. Separuh masa pertama begitu sukar.”
”Jika anda melihat kepada jaringan, anda boleh merasakan satu perlawanan yang mudah dihadapi.”
”Kami dalam kesukaran pada 15 minit menentang pasukan yang fizikal, kami bukan merupakan sebuah pasukan yang fizikal. Tetapi saya rasa mereka (pemain Huddersfield Town) kemungkinan keletihan pada babak kedua.”
Cabaran kedua buat Sarri dan anak buahnya adalah bertemu Arsenal di Stamford Bridge pada minggu hadapan.