Ketika menyaksikan perlawanan FA Cup antara Manchester United vs Sheffield United pada awal pagi ahad lalu, saya hampir tertidur pada pertengahan separuh masa pertama.
Cara permainan United di Old Trafford pada babak pertama perlawanan ternyata membosankan (sama seperti perlawanan-perlawanan lepas). Inikah kebangkitan yang pemain janjikan selepas kemenangan 2-1 menentang Swansea pada awal Januari lepas?
Walaupun menang dengan keputusan 1-0, saya sejujurnya kecewa dengan corak permainan yang sememangnya ‘bukan Manchester United’. Penyokong tidak mengharapkan United bermain betul-betul sama seperti era Ferguson, tetapi biarlah tradisi serangan United dikekalkan.
Dalam ulasan ini saya tidak menekankan aspek taktikal secara profesional, tetapi lebih kepada bentuk perbandingan pengalaman saya yang sudah menonton permainan United seawal umur 7 tahun.
Jadi saya menyenaraikan 5 sebab mengapa saya rasa permainan United di bawah kendalian Louis Van Gaal membosankan.
1) Tiada percubaan
Melihat kepada persembahan United pada separuh masa pertama perlawanan, tidak hairan jika ramai penyokong yang tertidur.
Statistik juga tidak menipu. Dengan 70% penguasaan bola, United hanya melancarkan 3 percubaan dan tiada percubaan tepat ke arah pintu gol lawan. Pengusaaan tanpa percubaan bermakna bola hanya berlegar-legar di antara pemain United sahaja.
Apabila tiada percubaan, maka tiadalah gol. Jika tiada gol dan aksi menarik, mengapa kita tengok bola?
2) Tiada pemain sayap sejati
Di bawah kendalian LVG, United kerap bermain formasi 4-3-3. Di dalam formasi ini, United tidak mempunyai pemain sayap sejati atau ‘natural winger’ sedangkan pemain sayap adalah nadi penting dalam tradisi serangan United.
David Beckham, Ryan Giggs, Cristiano Ronaldo, Nani adalah antara pemain sayap penting di bawah pengurusan Alex Ferguson. David Moyes pula bertanggungjawab menggilap bakat Adnan Januzaj walaupun sekejap.
Kini United kekurangan pemain sayap pantas yang dapat memberikan ‘hiburan’. Daripada membantu membuka ruang, menggelecek pertahanan lawan, sehinggalah membentuk pasangan overlap-underlap dengan full back (seperti yang dilakukan oleh Ronaldo dan Evra).
Walaupun Martial dan Depay boleh beraksi cemerlang di bahagian sayap, mereka bukanlah pemain sayap sejati.
Satu-satunya pilihan ‘natural winger’ United adalah Ashley Young, namun beliau kerap bermain di posisi pertahanan akibat krisis kecederaan United.
Kekurangan variasi di bahagian sayap menyebabkan tiada kepelbagaian (versatility) dalam aspek serangan dan menyebabkan persembahan menjadi hambar serta membosankan.
3) Tiada corak permainan yang menghiburkan
Keseronokan menonton perlawanan bola sepak lebih daripada sekadar gol.
Sesetengah penyokong mungkin sudah berpuas hati jika pasukan mereka menang. Lebih-lebih lagi jika mereka yang tidak tahu langsung mengenai taktikal.
Namun penyokong United mahukan lebih daripada itu. Kami mahukan gelecekan, rembatan padu jarak jauh (screamer), quick diagonal long passes (seperti yang selalu dilakukan oleh Paul Scholes) dan sepakan percuma yang menarik.
Malah Ferguson juga tidak suka kepada bola sepak yang membosankan.
Menurut Robin Van Persie, Sir Alex Ferguson pernah berkata kepada pemain:
“It’s boring! Imagine me, 72 years old, watching this kind of game? Excite me, try a pass over 40 metres, try a dribble. I don’t care if it goes wrong. Please excite me.”
Malangnya LVG masih teguh dengan falsafah patience-possession football beliau yang membosankan.
4) Transisi serangan yang perlahan
Saya pernah membaca entri di dalam Semuanyabola, di mana Pep Guardiola pernah berkata ‘setiap hantaran harus ada matlamat’.
Di dalam entri tersebut juga menunjukkan video di mana Pep memarahi Arturo Vidal dari tepi padang kerana tidak berada dalam posisi serta membuat hantaran belakang sedangkan serangan boleh dilancarkan.
Saya fikir alangkah bagusnya jika United mendapat seorang pengurus yang boleh berbuat sedemikian. Bukannya pengurus yang duduk sepanjang 90 minit kerana ‘falsafah’ beliau.
Apabila menyaksikan United bermain, saya memahami kenapa Pep begitu marah dengan tindakan Vidal: hantaran yang tak bermatlamat akan memperlahankan transisi pertahanan ke serangan. Bila perlahan, pasukan lawan mempunyai masa untuk menyusun pertahanan, terutamanya pasukan defensif.
Namun ini realiti yang berlaku kepada United.
Kita dapat lihat beberapa hantaran yang tak bermatlamat dilakukan sesama pemain sehingga menjejaskan tempo serangan.
Hantaran pendek yang membuang masa ini menyebabkan pemain yang mempunyai ruang kini tidak mempunyai ruang kerana pergerakannya sudah dibaca oleh pihak lawan.
Akhirnya, bola hanya berlegar-legar di kawasan middle third, bukannya di kawasan final third (salah satu falsafah LVG yang saya tidak suka).
5) Tiada ‘match winner’
Jika penyokong Barcelona tidak sabar menunggu aksi MSN (Messi, Suarez, Neymar) dan Real Madrid menanti BBC (Benzema,Bale, Ronaldo), saya pula kurang teruja menunggu United beraksi walaupun akhirnya saya tetap juga akan menonton perlawanan.
Match winner adalah pemain yang mampu mengubah keputusan perlawanan dengan bakat, skil dan metalitinya. Walaupun pasukannya bermain teruk.
Pada awal musim, saya sangkakan Memphis Depay and Anthony Martial dapat menjadi match winner. Namun prestasi Depay ternyata mengecewakan. Martial pula masih belum benar-benar konsisten.
Buat masa ini, tiada tanda-tanda besar LVG akan dipecat oleh kelab. Tiada juga tanda-tanda LVG akan mengubah corak taktikal beliau walaupun dikritik penyokong sendiri.
Tak keterlaluan kalau saya kata LVG telah menghancurkan tradisi bolasepak United hanya kerana falsafah bolasepak yang beliau agungkan.
Nota editor: Artikel ini ditulis oleh Iddy Zulkifle (27 tahun), seorang penyokong tegar Manchester United dari Shah Alam.
Jika anda boleh menulis artikel bola sepak dan mahu artikel anda dibaca oleh lebih 300,000 peminat bola sepak setiap bulan, hantarkan artikel anda (dalam MS Word) ke [email protected]
Baca juga: 3 Persamaan Yang Berlaku Kepada Manchester United & Bayern Munich Ketika Diurus Louis van Gaal