Lagi cerita mengenai Chelsea diperkatakan menjelang tarikh tutup perpindahan Liga Perdana Inggeris apabila kelab London itu telah berjaya membawa masuk penjaga gol Athletic Bilbao, Kepa Arrizabalaga dengan nilai £72 juta.
Nilai yang sekaligus menjadikannya sebagai penjaga gol termahal dunia bagi mengatasi rekod yang sebelum ini dipegang Alisson Becker (£65 juta).
Laporan sebelum ini mengatakan bahawa Arrizabalaga telah mengaktifkan klausa perlepasan bernilai £71.6 Juta untuk berhijrah ke Chelsea dan menurut sumber Goal, beliau menandatangani kontrak selama tujuh tahun.
Penjaga gol berusia 23 tahun itu gembira dengan kepercayaan yang diberikan The Blues terhadap dirinya.
”Ia merupakan keputusan yang sangat penting buat saya, untuk karier saya dan juga untuk kehidupan peribadi saya.”
”Terlalu banyak perkara yang menarik minat saya terhadap kelab ini. Semua kejuaraan yang telah dimenangi mereka, pemain yang lain, bandar ini, Liga Perdana Inggeris.”
”Saya sangat gembira Chelsea telah memilih untuk mempercayai saya dan juga membawa saya masuk ke dalam pasukan.”
Aksi menarik Kepa Arrizabalaga bersama Athletic Bilbao telah mendapat kepercayaan bagi beliau turut bersama-sama menyertai skuad kebangsaan Sepanyol pada saingan Piala Dunia di Rusia tempoh hari.
Dengan kehadiran penjaga gol baharu yang menggantikan Thibaut Courtois ini, ia menjadikan Arrizabalaga sebagai pemain Sepanyol keenam menyertai Chelsea selepas Cesar Azpilicueta, Marcos Alonso, Cesc Fabregas, Pedro dan Alvaro Morata.
Chelsea akan membuka tirai aksi Liga Perdana Inggeris pada Sabtu ini dengan kunjungan ke Huddersfield Town dan Kepa dijangka akan membuat penampilan sulungnya pada perlawanan tersebut.
Foto: Goal