Piala Cabaran edisi sulung membuka tirai saingan pada petang tadi membabitkan perlawanan Kumpulan A.
Sarawak berkunjung ke Selayang untuk berhadapan dengan pasukan tuan rumah UKM FC.
Rekod pertemuan di saingan 100Plus Liga Premier pada musim ini agak seimbang apabila Sarawak menewaskan lawan mereka itu 2-1 di Kuching pada April lalu, sebelum UKM FC menang dengan jumlah jaringan yang sama di tempat sendiri pada Mei.
Perlawanan yang berlangsung dalam keadaan cuaca panas di Stadium Selayang pada petang tadi menyaksikan pasukan tuan rumah tidak perlu menunggu lama apabila mendahului melalui penyerang import, Michael Ijezie seawal minit ke-4 perlawanan.
Tersentak dengan jaringan pasukan tuan rumah, Sarawak pantas bangkit lima minit kemudian apabila hantaran cantik pemain tengah, Muzaimir Hadi disambar kemas oleh bek kanan, Dzulazlan Ibrahim untuk gol penyamaan.
Kedua-dua pasukan kemudiannya mempunyai peluang untuk berada di hadapan, namun kedua-dua pasukan gagal memanfaatkan peluang yang terhidang.
Separuh masa perlawanan, menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Babak kedua pelawanan bermula dengan skrip yang hampir sama. Michael Ijezie bijak melepasi kawalan pemain pertahanan pasukan pelawat untuk memastikan UKM FC mendahului 2-1 seawal minit ke-47.
Ijizie terus menjadi duri di dalam daging buat si Bujang Senang apabila penyerang import dari Nigeria itu bijak memanfaatkan kesilapan penjaga gol Sarawak untuk melengkapkan hatrik pada minit ke-55 perlawanan.
Tidak cukup dengan itu, Ijizie menjaringkan gol ke-4 melalui tandukan selepas menyambar hantaran lintang Rafizi Hamdan hanya selepas empat minit melengkapkan hatrik.
Derita Sarawak terus menjadi parah apabila Ijezie terus mengganas di Selayang apabila menjaringkan gol ke-5 peribadi untuk mengesahkan tiga mata pertama buat UKM FC, sekaligus menghantar Sarawak pulang hampa.
Satu lagi perlawanan Kumpulan A pada malam ini membabitkan pertemuan Negeri Sembilan dan Terengganu FC II.