Skuad Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16) berjaya melangkah ke separuh akhir Kejohanan AFF di Surabaya, Indonesia selepas menewaskan Laos, 1-0 hasil daripada jaringan sendiri pemain lawan, Anantaza pada minit ke 4.
Kemenangan itu bermakna skuad muda negara menduduki tangga kedua dalam kumpulan B dengan 9 mata setelah mencatat 3 kemenangan dan 1 kekalahan serta dijadualkan bertemu pasukan tuan rumah, Indonesia di separuh akhir pada 9 Ogos ini di Stadium Delta Sidoarjo.
Sebelum ini, skuad kendalian Raja Azlan itu menewaskan Singapura 4-0 di Stadium Gelora Joko Samudro. Mereka juga menewaskan Brunei 6-1 bagi mencipta kebangkitan susulan kekalahan di tangan Thailand 1-2 pada aksi pembukaan.
Raja Azlan berkata, anak buahnya banyak belajar daripada kesilapan ketika bertemu Thailand.
“Menentang Singapura, kami mengawal sepenuhnya permainan. Pemain juga mengikut segala taktikal yang diarahkan jadi ini adalah persiapan terbaik sebelum berdepan Laos,” katanya.
Menurut rekod kejohanan, Malaysia pernah muncul juara pada tahun 2013 dan meraih tempat ketiga pada tahun 2008. Malah, skuad muda negara meraih tempat ke 4 dalam kejohanan ini sebanyak 3 kali iaitu pada tahun 2002, 2005 dan 2017.
Jika berjaya ke final, mereka berpeluang mengulangi pencapaian skuad ‘abang’ (B-19) yang menjuarai Kejohanan AFF B-19 setelah menewaskan Myanmar 4-3 pada bulan lepas.