Pemilik saham utama Arsenal, Stan Kroenke (gambar bawah) telah melakukan bidaan bernilai £600 juta, sebagai tawaran untuk mengambil alih seluruh pegangan di kelab bola sepak itu.
Bidaan tersebut sekaligus akan menjadikan Arsenal bernilai £1.8bn keseluruhan.
Jutawan Amerika Syarikat itu memegang 67% kepentingan melalui syarikat beliau KSE di dalam Arsenal. Kroenke turut mengumumkan Alisher Usmanov telah bersetuju untuk melepaskan 30% pegangan di dalam kelab tersebut.
Melalui satu kenyataan media yang dikongsi oleh BBC, menjadikan Arsenal sebagai pemilikan individu akan memudahkan kelab bola sepak itu untuk mengatur strategi dan cita-cita kelab.
Pengumuman pembelian saham Arsenal telah diumumkan di Bursa Saham London pada hari ini.
Walaupun memiliki 30% pegangan, Usmanov bukan salah seorang dari ahli lembaga pengarah yang bertanggungjawab dalam menentukan sebarang keputusan untuk Arsenal.
Usmanov sebelum ini pernah membida sebanyak £1bn untuk membeli baki pegangan kelab yang berpusat di Emirates itu pada Mei 2017, namun ditolak oleh Kronke.
Dalam satu kenyataan melalui KSE, Kronke berkata langkah pengambil alihan ini akan menjamin Arsenal untuk terus melangkah ke hadapan, sambil mengucap terima kasih kepada Usmanov untuk dedikasi beliau selama ini.
Kenyataan itu turut menekankan cita-cita kelab untuk bersaing secara konsisten di saingan Liga Perdana Inggeris dan UEFA Champions League, bola sepak wanita, dan penekanan terhadap pembangunan di peringkat akar umbi.
Untuk tujuan pengambilalihan, Kronke berkata £45 juta daripada dana adalah dari poket beliau sendiri, manakala baki £557 juta adalah dalam bentuk pinjaman yang tidak disandarkan kepada kelab.
Ini bermakna tawarn tersebut tidak datang di dalam bentuk pinjaman daripada institusi kewangan (bank).
Arsenal baru sahaja melantik Unai Emery sebagai pengurus pasukan selepas 22 tahun di bawah kendalian Arsene Wenger.
Sekiranya pengambilalihan ini menjadi kenyataan, maka ia adalah lembaran baru di dalam bola sepak The Gunners.