Skuad Newcastle United bertindak memboikot perjumpaan dengan media selepas tidak bersetuju dengan hal pembayaran bonus untuk musim akan datang.
Pemain dikatakan enggan memberikan kerjasama untuk menghadiri sesi fotografi untuk sebuah syarikat penyiaran televisyen di Pusat Latihan Darsley Park milik kelab tersebut pada Insin lalu.
Menurut laporan Sky Sport, tindakan tersebut adalah susulan keengganan pemain Newcastle dari menghadiri sesi temu bual selepas perlawanan persahabatan ketika pra musim.
Ketika ditanya oleh media pada minggu lalu selepas pasukan itu tewas 4-0 kepada Braga, pengurus pasukan, Rafael Benitez menjelaskan:
“Seperti yang saya nyatakan, ada perkara di luar padang terjadi tidak seperti yang pemain mahukan, dan ia adalah refleksi kepada perkara tersebut.”
Pada musim lalu, perkara sama juga terjadi sehingga kapten pasukan, Jamaal Lascelles bertindak bertemu dengan pemilik kelab, Mike Ashley untuk berbincang.
Benitez sendiri adalah individu yang tidak menyembunyikan perasaan kecewa sepanjang tempoh pra musim yang lalu, selepas sebelum itu berkata akan kekal bersama Newcastle untuk tempoh 5 atau 10 tahun akan datang, dengan syarat pemilik kelab memberikan sokongan kepada beliau untuk memperbaiki keupayaan pasukan.
Pengurus dari Sepanyol itu kemudiannya mengakui dengan berkata terpaksa menerima hakikat aktiviti mereka di pasaran pemain yang lembap.
Sebelum itu, Benitez dan Newcastle telah melepaskan Aleksandar Mitrovic, Mikel Merino, Chancel Mbemba, Matz Sels dan Adam Armstrong.
Yoshinori Muto dan Fabian Schar adalah dua pemain yang sudah sah tiba di Tyneside, tatkala Salomon Rondon akan tiba sebagai pemain pinjaman dari West Brom sebelum jendela perpindahan ditutup.
Newcastle United akan membuka tirai saingan Liga Perdana Inggeris menentang Tottenham Hotspur di tempat sendiri pada Sabtu ini.