Paranoid, konservatif dan membosankan. Itulah antara definisi corak permainan Manchester United di era Jose Mourinho pada musim lalu.
Persiapan pra musim Manchester United juga tidak meyakinkan penyokong-penyokong tegar mereka. Dua keputusan seri, dua kekalahan dan hanya satu kemenangan menentang pasukan kedua Real Madrid cukup menggusarkan.
Apakah sebenarnya yang berlaku di kem Manchester United? Apakah perancangan sebenar Jose Mourinho?
Jose Mourinho
Musim 2018/19 adalah musim ketiga pengendali dari Portugal ini di Old Trafford.
Musim lalu, United mengakhiri saingan di tangga kedua liga. Namun jarak 19 mata berbanding Manchester City menjadi agenda utama untuk diatasi pada musim ini.
Musim lalu Mourinho merekodkan kemenangan ke atas semua lima pasukan utama Premier League (EPL) yang lain. Namun mereka juga tewas kepada semua tiga pasukan yang baru dinaikkan ke EPL.
Jelas sekali terdapat isu stabiliti yang ketara di dalam pasukan yang perlu diatasi.
Taktikal pasukan
Sebelum kita pergi lebih jauh lagi, mari kita menganalisis taktikal yang bakal diterapkan oleh Mourinho bersama United untuk musim 2018/19.
Berdasarkan lima perlawanan jelajah pra musim yang dilalui, 4-3-3/4-2-3-1 akan menjadi taktikal utama pasukan. Di eropah, atau dalam perlawanan yang memerlukan United melakukan serangan habis-habisa untuk memburu gol, kami yakin formasi 3-5-2 akan diaplikasikan oleh Mourinho.
Lakaran di atas adalah gambaran kasar bagaimana formasi Manchester United pada musim hadapan. Di dalam sistem ini, Matic dan Fred memainkan peranan utama di dalam pembentukan pasukan.
Tatkala pasukan cuba mengatur gerak dari garis bawah, Fred akan turun sedikit ke bawah, membentuk sistem pivot berkembar dalam formasi 4-2-3-1 bersama Matic. Peranan Fred akan memberi lebih banyak kebebasan kepada Pogba untuk membantu bahagian serangan.
Ketika menentang lawan yang ultra offensive seperti Liverpool di Anfield pada musim lalu, dua pemain sayap diarahkan untuk turun bertahan di garis terendah, dan dua pemain bek kekal kompak di ruangan half-space bersama bek tengah untuk menjadikan 6 pemain pertahanan pada satu-satu masa.
Di dalam sistem 3-5-2 pula, kedua-dua bek sayap dari kiri dan kanan akan aktif melakukan larian dari bahagian sisi.
Tetapi bek sayap bukan kekuatan utama bagi United. Tujuan formasi 3-5-2 digunakan mempunyai dua sebab utama.
Pertama ialah untuk membolehkan Young mara lebih jauh ke hadapan untuk melakukan bola lintang mencari Romelu Lukaku atau pemain lain dengan kekuatan fizikal seperti Pogba dan Fellaini.
Kedua, ialah untuk membenarkan Rashford menggunakan kepantasan yang dimilikinya untuk melakukan larian masuk ke bahagian akhir pertahanan lawan, beraksi di belakang Lukaku sebagai penyerang kembar.
Kehadiran bek sayap yang aktif di bahagian sisi secara tidak langsung turut akan membuka ruang untuk Sanchez atau Lingard mengeksploitasi bahagian half-space yang lebih terdedah.
Di fasa ini, dua pemain sayap turut akan diarahkan untuk melakukan tugas bertahan, membentuk dua garisan pertahanan seakan-akan 5-4-1.
Bagi musim 2018/19, Manchester United dijangka akan meneruskan taktikal yang mirip mereka gunakan pada musim lalu.
Pertahanan adalah asas kepada taktikal Mourinho. Namun adakah ini bermakna pengurus dari Portugal ini mengabaikan aspek serangan?
Pembentukan skuad 2018/19
Sebelum ini, United sudah mengesahkan pembelian pemain muda, Diogo Dalot dari Portugal; penjaga gol, Lee Grant dari Stoke City dan juga pemain tengah, Fred dari Shaktar Donetsk.
Tatkala bek sayap yang boleh beraksi di sebelah kiri dan kanan, Dalot dilihat sebagai prospek masa depan, Lee Grant pula adalah penjaga gol sokongan kepada David De Gea akibat kecederaan Sergio Romero.
Ini menjadikan Fred sebagai satu-satu pemain utama yang dibawa masuk setakat ini.
Ketika jelajah pra musim di Amerika Syarikat, Mourinho berkata beliau mahukan sekurang-kurangnya dua lagi pemain.
Dua pemain yang dimaksudkan merujuk kepada seorang bek tengah, dan juga seorang pemain sayap. Apakah justifikasi untuk mendapatkan dua lagi pemain tersebut, dan juga ketibaan Fred?
Mengapa tiga pemain ini penting buat Man Utd?
Musim lalu, Ederson merekodkan 58 saves dari 36 penampilan bersama Manchester City dan dibolosi sebanyak 27 kali sepanjang 38 perlawanan pada musim lalu.
Pada masa yang sama, David de Gea merekodkan 115 saves dari 37 penampilan dan Manchester United dibolosi sebanyak 28 kali untuk jumlah perlawanan yang sama.
Dari data di atas, jelas United mempunyai masalah stabiliti di bahagian pertahanan. Dan ia sebenarnya bermula dari bahagian tengah yang gagal melakukan penguasaan bola.
Untuk itu, Mourinho membawa masuk Fred, untuk digandingkan dengan Matic dengan harapan ia boleh membantu mengawal jentera tengah dengan lebih efektif, sekaligus memberi lebih perlindungan kepada bahagian pertahanan.
Dan untuk memberikan lebih banyak perlindungan kepada David de Gea, Mourinho berusaha untuk mendapatkan seorang pemain pertahanan tengah. Harry Maguire dilihat sebagai calon yang paling sesuai berdasarkan profail pemain itu untuk digandingkan dengan Eric Bailly.
Toby Alderweireld, Yeri Mina dan Jerome Boateng juga dilihat sebagai antara pemain yang berpotensi untuk dibawa masuk.
Sekiranya menjelang tarikh tutup jendela perpindahan, United gagal membawa masuk mana-mana pemain, maka Mourinho harus mengandalkan benteng pertahanan kepada pemain sedia ada seperti Chris Smalling dan Phil Jones.
Ramai juga di kalangan penyokong Manchester United yang mengeluh mengenai keberkesanan bek sayap United, Antonio Valencia dan juga Ashley Young.
Untuk berlaku adil, kedua-dua nya menampilkan corak permainan yang berdisiplin di bahagian pertahanan pada musim lalu. Sebenarnya tidak ada masalah untuk posisi bek sayap mengambil kira kehadiran Diogo Dallot sebagai salah seorang prospek masa hadapan.
Tetapi masalah yang lebih kronik bagi United ialah posisi sayap kanan. Pada musim lalu, Mourinho kerap menurunkan Jesse Lingard, dan kemudiannya Juan Mata di posisi tersebut.
Dari segi stabiliti dan dinamik serangan, kedua-dua pemain bukan pemain sayap, dan gagal mengancam pertahanan lawan seperti mana yang diharapkan.
Ini membuatkan United cenderung melakukan serangan dari arah kiri, sekaligus bermakna grid serangan Manchester United terlampau mudah untuk dibaca oleh lawan.
Hasilnya hanya 20% hantaran lintang, purata yang sangat rendah bagi pasukan seperti Manchester United. Ini menjelaskan mengapa Mourinho mahukan seorang pure winger sebagai sayap kanan dari jendela perpindahan kali ini.
Mourinho dikenali sebagai seorang pengurus yang memberi keutamaan kepada stabiliti di pertahanan sebelum melihat kepada serangan.
Adakah benar skuad Manchester United ini masih belum menjelma sebagai ‘skuad Mourinho’ walaupun sudah memasuki musim ketiga?
Output pra musim
Berdasarkan lima perlawanan yang dilalui sepanjang pra musim, Mourinho jelas individu yang paling kecewa di dalam kem United.
Enam pemain utama beliau terlibat sehingga ke separuh akkhir Piala Dunia, bermakna pemain-pemain ini hanya akan kembali beberapa hari sebelum sepak mula. Ini juga bermakna Mourinho tidak boleh bereksperimen menggunakan pemain pilihannya.
Isu kecergasan pemain turut menjadi masalah. Mourinho tidak bersembunyi apabila mengkritik keadaan fizikal Antonio Valencia selepas cuti musim panas.
Tiada percubaan tepat dalam perlawanan menentang Bayern Munich adalah petanda jelas, ini bukan pra musim yang Mourinho mahukan untuk pasukannya.
Namun tidak semuanya berakhir dengan nada negatif. Prestasi Andreas Pereira misalnya, telah memberi indikasi bahawa beliau sudah bersedia untuk aksi bersama skuad utama United.
Begitu juga dengan Sanchez pada musim lalu, yang tampak yakin untuk mendiamkan pengkritiknya pada musim lalu. Manakala Tahith Chong dilihat sebagai prospek masa depan.
Rumusan
Jendela perpindahan musim ini adalah kunci untuk Manchester United memberikan stabiliti kepada skuad sedia ada.
Berdasarkan apa yang dilalui United setakat ini, Mourinho tidak menyembunyikan kekecewaan beliau mengenai aktiviti di pasaran pemain.
Mereka memiliki skuad yang besar dengan squad depth yang lengkap, tetapi tidak memiliki pemain-pemain individu yang boleh menerima arahan spesifik dari Mourinho.
Apa pendapat penyokong Manchester United di Malaysia. Nyatakan pendapat anda di ruangan komen. Kami mahu mendengarnya daripada anda.