Kejayaan kelab dari Liga Premier, MIFA menewaskan juara liga super 5 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT), 2-1 ketika aksi Piala Malaysia di Stadium Larkin semalam telah mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan.
Pengendali pasukan itu, K. Devan mengakui terkejut dengan kemenangan itu tetapi masih tidak mahu meletakkan harapan tinggi kepada pasukannya untuk mara lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia musim ini.
“Kemenangan ke atas JDT sememangnya tidak dijangka, apatah lagi, beraksi di laman keramat lawan.
“Malah, kejayaan ini bukan bermakna saya perlu mengubah sasaran yang diletakkan sebelum ini, sebaliknya berharap pemain terus memperagakan aksi terbaik masing-masing dan meraih pengalaman beraksi menentang pasukan terbaik.
“Saya akui kami adalah pasukan kerdil berbanding tiga lagi pencabar iaitu JDT, Kelantan dan Kedah yang masing-masing pernah menjulang trofi berprestij itu. Jika kami mara, ia satu bonus kepada pasukan,” katanya kepada Berita Harian.
Menurut Devan, taktikal yang digunakan lebih terarah untuk bertahan dan mengakui sepanjang 90 minit perlawanan penguasaan jelas milik JDT, tetapi pemain menjalankan tugas yang diarahkan apabila kerap memintas setiap bola hantaran di sebelah sayap kiri dan kanan.
“Formasi 5-4-1 yang dipraktikkan juga membuahkan hasil selepas saya menggunakan dua pemain tengah bertahan kerana kita tahu JDT begitu kuat di posisi tengah dan tindakan menyekat pemain tengah mereka ternyata memberi kesukaran menyusup masuk ke dalam kotak penalti.
“Kita juga berjaya menutup ruang di posisi sayap kiri dan kanan JDT dan mereka tampak sukar untuk melepasi bahagian itu. Pemain juga tidak gentar untuk berdepan barisan penyerang JDT dan berjaya menidakkan gerakan berbahaya barisan serangan tuan rumah.
“Saya juga memuji persembahan penjaga gol, Mohd Muhaimin (Mohamad) yang tangkas menepis dan menangkap malah sentiasa berada di posisi terbaik bagi menghalang percubaan berbahaya barisan serangan JDT,” katanya.
Dalam perlawanan itu, penyerang JDT, Hazwan Bakri dua kali menguji penjaga gawang MIFA, Muhaimin seawal minit ke-5 dan ke-7 namun Muhaimin dilihat tenang menyelamatkan pintu golnya.
Muhaimin adalah penjaga gol terbaik dalam saingan Liga Premier bersama-sama Farizal Harun dari Felda United dan Sheril Anuar (PDRM) dengan rekod 5 clean sheets.
15 minit pertama, hanya JDT yang berjaya menggerakan serangan ke kubu lawan sementara MIFA pula tampak sukar untuk merancang serangan mahupun memegang bola.
Tanpa diduga, melalui serangan dan juga percubaan pertama ke gawang, penyerang pelawat, Sherman berjaya meledak gol pertama perlawanan pada minit ke-18.
Pada minit ke-80, penjaga gol JDT, Farizal Marlias tertewas sekali lagi. Pemain tengah dari Korea Selatan, Bae Beom Geun berjaya menjaringkan gol kedua MIFA selepas menerima hantaran daripada penyerang, L’Imam Seydi.
Walaupun jarang sekali pasukan pelawat berjaya mengasak Farizal, namun sedikit peluang yang mereka dapati berjaya dimanfaatkan sepenuhnya dengan menghasilkan gol.