Selepas membawa masuk bekas anak didiknya dari SSC Napoli, Jorginho pada hari yang sama dengan kedatangannya ke Stamford Bridge, Maurizio Sarri memberikan bayangan untuk merekrut seorang lagi pemain tengah bagi memperkuatkan jentera Chelsea.
Pengendali berusia 59 tahun itu juga melihat The Blues tidak akan sibuk berbelanja pada jendela perpindahan musim panas ini dan mengharapkan agar Thibaut Courtois, Eden Hazard dan Willian kekal bersama pasukan.
Sehubungan dengan minatnya bagi mendapatkan pemain tengah buat Chelsea, Sarri telah menyatakan kriteria pemain yang diperlukan kepada wakil kelab.
Menurut sumber Goal, Sarri bagaimanapun masih belum menamakan pemain yang menjadi pilihannya ketika jendela perpindahan semakin menghampiri ke penghujung pada 19 Ogos ini.
”Saya telah bercakap kepada kelab mengenai pasaran tetapi hanya satu atau mungkin dua kali sahaja, tidak lebih dari itu.”
”Saya juga bercakap mengenai posisi dan karakter yang diperlukan tetapi masih tiada nama (pemain yang diinginkan). Jadi, saya tidak tahu.”
”Saya merasakan kami memerlukan sesuatu tetapi mungkin hanya seorang pemain.”
”Kami memiliki pemain-pemain tengah yang sangat baik tetapi mungkin memerlukan seorang pemain tengah dengan karakter yang berbeza.”
Ketika ini, Jorginho merupakan pembelian tunggal buat Chelsea dengan nilai berjumlah £57 juta buat pemain kelahiran Brazil yang memilih untuk mewakili skuad kebangsaan Itali itu.