“Jika perlakuan anda memberi inspirasi kepada orang lain untuk bercita-cita tinggi, untuk belajar lebih rajin, untuk memperbaiki diri mereka sendiri, anda adalah seorang pemimpin.”
Artikel ini adalah tribute kepada 10 pemain Serie A yang memberi inspirasi kepada rakan sepasukannya untuk bercita-cita tinggi dan memperbaiki diri sendiri.
Mereka mungkin melakukannya dengan bersuara di padang. Tetapi apa yang pasti, mereka juga melakukannya dengan aksi berinpirasi mereka di atas padang. Ini adalah 10 kapten terbaik dalam sejarah Serie A.
10. Sergio Pellisier (Chievo Verona, 2000-sehingga kini)
Nama yang kurang dikenali oleh penyokong non-calcio, Sergio Pellisier merupakan pemain terbaik sepanjang zaman untuk Chievo Verona.
Penyerang berusia 36 tahun ini sudah membuat 411 kemunculan bersama Chievo. Beliau pernah mengetuai Chievo ke Champions League dan UEFA Cup pada musim 2006/2007. Malah Pellisier juga setia bersama kelab ketika mereka tersingkir ke Serie B.
9. Fabrizio Miccoli (Palermo, 2007-2013)
Pada tahun 2007, Fabrizio Miccoli, 28, berpindah ke Palermo selepas karier impian beliau di Juventus tidak berakhir dengan baik.
Bermula perlahan kerana kecederaan pada awalnya, Miccoli bagaimanapun meningkat naik hingga dilantik menjadi kapten Rosaneri pada tahun 2009. Ketika itu, beliau sudah menjaringkan sejumlah 42 gol dan 22 assist sepanjang 3 musim.
Pada tahun 2012, Fabrizio menjadi penjaring terbanyak kelab setelah menjaringkan hatrik ketika seri 4-4 dengan Internazionale di San Siro.
8. Antonio Di Natale (Udinese, 2004-sehingga kini)
Antara pemain kegemaran gamers FIFA, penyerang berusia 38 tahun ini mungkin seorang pemain late bloomer kerana hanya mula prolifik ketika usia beliau memasuki 30-an.
Di Natale pernah memenangi anugerah Capocannoniere (kasut emas Serie A) buat dua musim berturut-turut pada musim 2009/2010 dan 2010/2011 pada usia 33 tahun.
Beliau juga diiktiraf sebagai antara 15 penjaring terbanyak Serie A sepanjang zaman dengan 185 gol, mengatasi rekod jaringan Gabriel Batistuta.
7. Gabriel Batistuta (Fiorentina, 1991-2000)
Gabriel Batistuta bukan sahaja merupakan pemain terbaik Fiorentina sepanjang zaman, malah merupakan pemimpin dan idola setiap peminat La Viola.
Peminat bola sepak era 90-an pasti ingat kisah beliau yang tetap bersama Fiorentina walaupon tersingkir ke Serie B dan tidak pernah memenangi liga.
Batistuta pernah memecahkan rekod 30 tahun Ezio Pascutti dengan menjaringkan gol dalam 11 perlawanan berturut-turut. Beliau turut mengetuai La Viola mejuarai Coppa Italia dan Supercoppa Italiana pada musim 1995-96 sebelum menyertai AS Roma.
Pada 2014, Batistuta diserap ke Fiorentina Hall Of Fame setelah menjaringkan hampir 200 gol buat La Viola.
6. Alessandro Nesta (Lazio, 1993-2002)
Sebelum mencipta nama di AC Milan, Alessandro Nesta merupakan nadi pasukan Lazio kendalian Sven Goran Eriksson yang menjuarai Serie A dan Coppa Italia pada musim 1999/2000.
Pada usia 24 tahun, Nesta mengetuai skuad Lazio yang memenangi UEFA Cup Winners Cup. Kemudian menumpaskan Manchester United 1-0 untuk menjuarai UEFA Super Cup.
Bagaimanapun, masalah kewangan Lazio memaksa mereka menjual Nesta dengan yuran perpindahan €31 juta ke AC Milan.
5. Diego Maradonna (Napoli, 1984-1991)
Tidak ada pemain lain yang dapat mencetuskan impak di Napoli seperti mana Diego Maradonna.
Pemain terbaik dunia dari Argentina ini mengetuai skuad Partonopei dalam era paling berjaya mereka, menjuarai Serie A pertama mereka pada 1986-87, dan kejuaraan Serie A kedua pada tahun 1989-90.
Maradona juga membawa Napoli menjuarai Coppa Italia, Supercoppa dan UEFA Cup pertama dalam sejarah kelab. Ketika itu, penduduk Naples sudah mengangkat taraf Maradonna sebagai dewa mereka.
4. Javier Zanetti (Internazionale, 1995-2014)
Il Capitano ini merupakan pembelian pertama era Massimo Moratti. Javier Zanetti kemudiannya menjadi kapten paling berjaya Internazionale, memenangi 5 kejuaraan Serie A berturut-turut (2005-2010).
Zanetti juga memecah rekod Beppe Bergomi pada 2011 selepas mencatat 858 penampilan sepanjang 19 musim bersama skuad Nerazzurri.
Kesetiaan dan sumbangan pemain versatil ini kepada kelab membuatkan Internazionale tidak keberatan untuk mengabdikan jersi no 4 milik Zanetti dan menjadikan beliau sebagai naib presiden kelab.
3. Alessandro Del Piero (Juventus, 1993-2012)
Alessandro Del Piero ini memulakan karier di Padova sebelum dibeli Juventus pada tahun 1993. Il Capitano Juventus kemudiannya kekal di Juventus selama 19 musim, dengan 11 musim sebagai kapten.
Sehingga kini, Del Piero memegang rekod penampilan paling banyak kelab dengan 705 penampilan, menjaringkan 290 gol.
Ketika Juventus disingkirkan ke Serie B pada musim 2006/2007, Del Piero muncul sebagai contoh, untuk kekal setia mengetuai skuad La Vecchia Signora (The Old Lady) bersama Gigi Buffon, David Trezeguet dan Pavel Nedved.
“A true gentleman never leave his lady,” kata Del Piero ketika ditanyakan soalan mengapa beliau kekal ketika Juventus diturunkan ke Serie B.
2. Francesco Totti (AS Roma, 1992-sehingga kini)
Totti ialah Roma dan Roma ialah Totti. Sejak melakukan debut pertama buat Roma, Francesco Totti yang kini berusia 39 tahun mahu beraksi sehingga usia 41 tahun.
Sehingga kini, Totti sudah menjaringkan 244 gol dalam 541 penampilan Serie A. Pada usia 38 tahun 59 hari, Il Gladiatore juga memegang rekod sebagai penjaring tertua dalam Champions League.
Totti sudah mengetuai AS Roma selama 17 tahun, sejak dari usianya baru menginjak 22 tahun. Totti juga pernah mengetuai AS Roma menjuarai Serie A (2000/2001) serta 2 kejuaraan Coppa Italia dan Supercoppa Italiana.
1. Paolo Maldini (AC Milan, 1985-2009)
Paolo Maldini adalah pengganti ideal kapten AC Milan sebelumnya, Franco Baresi yang bersara pada musim 1996/1997.
Maldini telah membuat 902 penampilan dalam semua pertandingan buat AC Milan sejak debut beliau pada tahun 1985, ketika masih berusia 16 tahun.
Maldini mempunyai rekod beraksi dalam 8 final Champions League, memenangi 5 daripadanya.
Secara keseluruhannya, beliau mempunyai 7 kejuaraan Serie A, 5 Champions League, 5 Supercoppa, 5 UEFA Super Cups, 3 Intercontinental Cups, dan 1 Coppa Italia.
Legasi yang ditinggalkan oleh Maldini menyebabkan AC Milan tidak keberatan untuk mengabdikan jersi no.3 kepada namanya, sebagaimana jersi no.6 untuk Baresi.
Nota editor: Artikel ini ditulis oleh Luqman Hakim, seorang peminat liga kedua terkuat di dunia, Serie A.
Jika anda boleh menulis artikel bola sepak dan mahu artikel anda dibaca oleh lebih 300,000 peminat bola sepak setiap bulan, hantarkan artikel anda (dalam MS Word) ke [email protected]
Baca juga: 10 Pemain Dengan Gaji Paling Tinggi Dalam Serie A