Saingan unifi Piala Malaysia musim ini menyaksikan pasukan dari Borneo tidak diwakili oleh Sarawak.
Sebaliknya, Sabah kembali selepas beberapa ketika tidak beraksi dalam saingan berprestij itu.
Dengan kembalinya mereka selepas beberapa tahun menyepi, Sabah pastinya ingin memberikan kesan kepada lawan yang mereka hadapi dalam saingan kali ini.
Menurut laman Berita Harian, jurulatih Sabah iaitu Julius Ating meletakkan sasaran tinggi untuk pasukan itu pada musim ini.
Beliau mahukan pasukannya pergi sejauh peringkat separuh akhir untuk mengembalikan maruah bola sepak Sabah.
“Kami akan sedaya upaya untuk pergi lebih jauh dalam pertandingan ini, kalau boleh kami ingin ke separuh akhir.”
Dalam masa yang sama, Julius menyatakan beliau tidak mahu pasukannya hanya muncul di saingan Piala Malaysia sebagai pasukan belasahan dan pasukan pelengkap jadual.
“Saya sejujurnya berasa sangat gembira kerana berjaya layak kembali ke Piala Malaysia.”
“Tahun ini kami layak secara merit, ianya satu peningkatan yang baik buat kami.”
“Saya berharap agar Sabah tidak menjadi pasukan pelengkap jadual sahaja pada pertandingan kali ini.”
Julius berpendapat suasana Piala Malaysia sememangnya berbeza dari kejohanan lain.
Jadi beliau berharap pasukannya boleh memberikan saingan tidak kira dengan siapa pun mereka hadapi dalam saingan kali ini.
Sabah diundi dalam kumpulan D bersama-sama juara 33 kali Selangor, juara bertahan Shopee Piala FA iaitu Pahang dan juga PKNP FC.
Kali terakhir Sabah beraksi di Piala Malaysia adalah pada tahun 2011.