Manchester United menamatkan jelajah Amerika Syarikat dengan kemenangan selepas menundukkan juara Eropah, Real Madrid 2-1 pada perlawanan International Champions Cup yang berlangsung di Miami sebentar tadi.
David De Gea yang baru sahaja menyertai pasukan dan pemain baharu, Fred turut diturunkan oleh Jose Mourinho pada perlawanan ini.
Pemain muda Real Madrid, Vinicius Junior pula sempat beraksi selama 62 minit dan kemudiannya digantikan oleh Oscar Rodriguez.
Perlawanan yang menjadi medan buat kedua-dua pengendali bagi mencari ramuan yang berguna untuk menguji para pemain menyaksikan lebih dikuasai skuad bimbingan Julen Lopetegui.
Bagaimanapun, penguasaan tersebut tidak memadai apabila Manchester United lebih bijak menyempurnakan peluang yang terhidang.
Alexis Sanchez membuka tirai jaringan pada minit ke-18 selepas pemain kelahiran Chile itu tidak bermasalah untuk menolak masuk bola hasil Matteo Darmian yang menewaskan Francisco Casilla.
United melebarkan kedudukan sembilan minit kemudian selepas Ander Hererra melepaskan rembatan cantik bagi membolosi penjaga gol Real Madrid itu.
Karim Benzema merapatkan kedudukan pada penghujung babak pertama apabila beliau menyambar bola hasil hantaran lintang dari sebelah kanan pintu gol Real Madrid untuk menamatkan aksi babak pertama dengan keputusan 2-1.
Permainan di babak kedua gagal menghadirkan sebarang jaringan buat kedua-dua pasukan untuk memberikan kemenangan pertama buat Manchester United di Amerika Syarikat.
Sebelum ini, Manchester United sekadar seri 1-1 (menang sepakan penalti 9-8) bertemu AC Milan dan tewas 4-1 di tangan Liverpool manakala perlawanan hari ini adalah yang pertama buat Real Madrid di bawah kendalian Lopetegui.
Foto: Mirror UK