Claude Puel masih yakin, dua pemain Leicester City yang membintangi Piala Dunia 2018 du Rusia, Harry Maguire (England) dan Kasper Schmeichel (Denmark) akan kekal di King Stadium walaupun selepas jendela perpindahan ditutup pada 9 Ogos nanti.
Tawaran dari beberapa kelab dijangka akan tiba dalam beberapa hari ini untuk dua pemain tersebut selepas masing-masing menyerlah membantu pasukan masing-masing di Rusia.
Bagi Puel, dua pemain ini terlampau penting dan bernilai untuk dilepaskan oleh Leicester City. Apatah lagi tempoh jendela perpindahan yang sudah singkat, dan menyukarkan kelab mencari pengganti.
“Saya berpendapat kami mampu mengekalkan dua pemain ini. Ia sangat penting untuk kelab ini,” ujar Puel mengulas mengenai perkara tersebut di hadapan wartawan di Austria.
“Kita tidak melepaskan pemain begitu sahaja terutama apabila berhadapan risiko gagal membawa pengganti kerana jendela perpindahan yang singkat.”
“Ia sukar untuk mencari pengganti di dalam tempoh itu, dan kelab ini juga pasti tidak mahu berada di belakang dalam persaingan liga.”
Lebih daripada itu, Kasper dan Maguire juga sangat penting bagi skuad ini dalam mengekalkan struktur pasukan, dan juga keyakinan pemain lain dalam berhadapan cabaran musim baharu,” jelas Puel lagi.
Maguire sedang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford, dengan Jose Mourinho sedang giat memperkuatkan barisan benteng sedia ada Manchester United.
Manakala Kasper Schmeichel, berada di bawah radar Chelsea sebagai pengganti kepada penjaga gol utama pasukan itu, Thibaut Courtois yang dikaitkan dengan Real Madrid.
Pasukan kendalian Puel kini berada di Austria untuk menjalani persiapan pra musim. Puel bercakap kepada wartawan selepas Leicester City tewas 2-1 kepada Udinese dalam perlawanan persahabatan antarabangsa.