Ini adalah perlawanan terakhir membabitkan kedua-dua pasukan, JDT dan Kuala Lumpur dalam saingan unifi Liga Super 2018 pada musim ini.
Berbeza seperti saingan di pusingan pertama, perlawanan kali ini ibarat seperti sekadar pelengkap jadual. JDT sudah sah dinobatkan juara MSL 2018, manakala Kuala Lumpur turut sudah mengesahkan status mereka untuk kekal di saingan Liga Super pada musim hadapan.
Atau mungkin sekelumit dendam yang perlu dibalas oleh skuad Raul Loghi untuk menjadikan kisah perlawanan ini menjadi menarik, setelah Kuala Lumpur tampil sebagai pasukan tunggal yang pernah menundukkan juara lima kali berturut-turut MSL itu pada Februari lalu.
Hariss Harun diberikan tanggunjawab sebagai kapten dalam formasi 4-3-3 JDT. JDT yang memulakan perlawanan dari wisel permulaan memperolehi peluang seawal minit ke-8 melalui Safawi Rasid, namun tersasar.
Tidak perlu menunggu lama, JDT akhirnya mendahului 1-0 selepas Fernando Marquez berjaya menewaskan Sharbinee Allawee pada minit ke-14 selepas menerima umpanan Gabriel Cabrera.
Selepas itu, percubaan pemain antarabangsa Singapura dan kapten pasukan, Hariss Harun dari luar kotak penalti pada minit ke-24 perlawanan gagal menepati sasaran.
Minit ke-32 perlawanan menyaksikan Marcos Antonio berjaya menanduk keluar ancaman hantaran lintang pemain sayap Kuala Lumpur untuk kedudukan kekal 1-0 sehingga tamat 45 minit babak pertama.
Babak kedua perlawanan, JDT tidak menunggu lama untuk terus menghukum skuad warga kota apabila Marquez sekali lagi betindak cemerlang menjaringkan gol peribadi dan kedua perlawanan untuk pasukan Harimau Selatan mendahului 2-0.
Tidak banyak boleh diperkatakan pada babak kedua perlawanan. Perlawanan tergendala sebentar di minit ke-75 perlawanan selepas kecederaan membabitkan pemain pertahanan JDT, Marcos Antonio.
Tamat perlawanan, JDT menewaskan Kuala Lumpur 2-0.