Skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) terpaksa mengubah perancangan mereka bagi menghadapi temasya Sukan Asia 2018 apabila bertindak membatalkan perlawanan persahabatan menentang skuad Arab Saudi.
Semalam keputusan undian semula acara bola sepak yang dilakukan di AFC House, Kuala Lumpur menyaksikan Emiriah Arab Bersatu (UAE) diundi dalam kumpulan E iaitu satu kumpulan dengan skuad muda negara.
Susulan kumpulan perubahan itu menyebabkan pengendali skuad itu, Datuk Ong Kim Swee terpaksa membatalkan aksi persahabatan yang dijadualkan berlangsung pada 9 Ogos itu.
Bercakap kepada Berita Harian, Kim Swee menjelaskan beliau hanya memiliki tempoh empat hari latihan dan mengharungi satu aksi persahabatan berdepan skuad B-23 China pada 5 Ogos ini sebelum berlepas ke Jakarta pada 8 Ogos.
“Sebab itu sebelum ini saya minta dilakukan awal jika ada undian semula, tapi apa boleh buat dan kami terpaksa terima.
“Memang di atas kertas Korea Selatan dan UAE adalah pasukan pilihan, tapi kami akan cuba yang terbaik. Ini satu cabaran besar buat semua pemain,” katanya.
Difahamkan undian semula itu dilakukan kerana bantahan daripada UAE yang tidak berpuas hati apabila pasukan mereka tercicir dalam undian awal bersama dengan Palestin akibat masalah teknikal.
Mengulas mengenai keputusan undian itu yang dianggap sebagai ‘kumpulan maut’, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi yakin dengan kemampuan skuad muda negara seperti mana mereka mencipta sejarah melangkah ke suku akhir kejohanan AFC B-23 di China.
“Kita terpaksa terima dan anggap ini satu peluang dapat beraksi dengan pasukan terbaik. Sudah tentu kita nak dedahkan pemain dengan pasukan terbaik, barulah kita jadi pasukan lebih baik pada masa akan datang.
“Ketika pergi ke China (Kejohanan AFC) pun, kita pasukan yang tak diberi harapan, tapi akhirnya kita berjaya masuk ke suku akhir sebelum kalah kepada Korea Selatan, itu pun kalah tipis.
“Semangat dari China perlu dibawa oleh pasukan ini untuk menunjukkan yang kita bukan pasukan belasahan dan tidak mustahil untuk kita melakar kejutan di Sukan Asia nanti,” katanya