Pendatang baharu liga, Wolverhampton Wanderers terus memperkuatkan pasukan bagi menghadapi Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas merekrut pemain tengah antarabangsa Portugal, Joao Moutinho.
Moutinho salah seorang pemain yang membantu Portugal menjuarai Kejohanan Eropah 2016 di Perancis dan telah beraksi dalam tiga edisi Piala Dunia serta mencatatkan 113 penampilan antarabangsa.
Direkrut dari AS Monaco dengan nilai £5 juta, Moutinho telah memeterai kontrak selama dua tahun untuk berada di Molineux Stadium.
Mengulas mengenai pemergian Moutinho ke EPL, Naib Presiden AS Monaco dan juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab tersebut, Vadim Vasilyev mengucapkan terima kasih di atas sumbangannya selama lima tahun di Perancis.
”Sepanjang lima musim di Monaco, Joao Moutinho adalah pemain utama selepas kembalinya kelab ini.”
”Melalui persembahannya, dia telah menyumbangkan kepada keputusan yang luar biasa. Terima kasih di atas sifat profesional dan ketegasannya.”
”Dia membantu pemain muda kami dalam perkembangan mereka. Joao akan sentiasa dialu-alukan di Monaco.”
Moutinho bukanlah satu-satunya pemain dari Portugal yang bakal beraksi buat Wolves apabila kelab tersebut turut membawa masuk penjaga gol berpengalaman, Rui Patricio dan Ruben Neves yang sudah bersama pasukan sejak musim lalu.
Bahkan pengurus kelab, Nuno Espirito Santo juga merupakan dari negara yang begitu signifikan dengan Cristiano Ronaldo itu.
Foto: BBC