8 Perpindahan Pemain Tidak Masuk Akal Pernah Dilakukan Kelab Besar Di Eropah

Sebelum saingan musim baru membuka tirai, perkara yang tidak henti-henti menjadi bualan peminat bola sepak adalah berita mengenai perpindahan para pemain.

Seperti sedia maklum, apabila jendela perpindahan dibuka, kelab-kelab besar Eropah akan melakukan perancangan dan bersaing untuk mendatangkan pemain-pemain baru yang berkualiti bagi memperkuatkan pasukan masing-masing.

Akan tetapi, adakala perpindahan pemain yang dilakukan pengurus telah gagal memenuhi piawaian seperti yang diinginkan oleh pihak kelab.

Terdapat sekurang-kurangnya lapan perpindahan yang dianggap sebagai satu pembaziran dan tidak sepatutnya berlaku untuk kelab terhebat di Eropah.

Siapakah pemain tersebut dan pasukan manakah yang mendapatkan khidmat mereka ? Berikut adalah ulasannya.

1. Nicklas Bendtner (Juventus)

TURIN, ITALY – DECEMBER 01: Nicklas Bendtner of Juventus looks on during the Serie A match between Juventus and Torino FC at Juventus Arena on December 1, 2012 in Turin, Italy. (Photo by Valerio Pennicino/Getty Images)

Pada musim 2012/13 , Juventus yang dibimbing oleh Antonio Conte telah melakukan rombakan besar-besaran dengan membawa masuk hampir 15 pemain baru.

Nicolas Anelka, Paul Pogba, Kwadwo Asamoah dan Sebastian Giovinco antara pemain yang baru berjaya dimiliki mereka pada ketika itu.

Dengan penyerang yang sedia ada seperti, Mirko Vučinić, Fabio Quagliarella, Alessandro Matri dan Stefano Beltrame, Juventus sepertinya tidak perlu lagi mendapatkan penyerang baru.

Tetapi Juventus tetap mendatangkan Nicklas Bendtner dengan menyandang status sebagai pemain pinjaman dari Arsenal.

Pencapaian Bendtner di Juventus amat mengecewakan.

Beliau hanya diberi peluang tampil 9 kali bersama Juventus dan gagal menjaringkan sebarang gol untuk pasukan.

Lebih menyedihkan, jersi yang tertera angka 17 dengan nama Bendtner mendapat sambutan yang sangat teruk dari segi rekod jualan.

Kemasukan Bendtner secara pinjaman dianggap sebagai satu kerja yang sia-sia dan ternyata ianya telah merugikan kelab dari Itali tersebut.

2Ronnie O’Brien (Juventus)

Pada tahun 1999, Juventus pernah melakukan kesilapan besar dengan membawa masuk pemain dari Middlesbrough, iaitu Ronnie O’Brien.

Juventus pada awalnya ingin menggilap bakat pemain muda dan percaya, O’Brien merupakan pemain yang berpotensi untuk menjadi pemain terbaik bersama kelab mereka dimasa akan datang.

Mungkin pengalaman beliau beraksi bersama Damien Duff dan Robbie Keane dalam skuad Ireland B-16 menjadi faktor utama mengapa Juventus amat berminat dengan beliau.

Hasil rundingan bersama pihak pengurusan telah berjaya mencapai kata sepakat dengan O’Brien menandatangani kontrak selama lima tahun bersama Juventus.

Beraksi di Serie A mungkin tidak seperti bermain bersama Middlesbrough dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Hasrat O’Brien ingin mencipta karier bersama Juventus tidak kesampaian apabila beliau telah dipinjamkan ke empat buah pasukan sehingga berakhirnya kontrak beliau bersama Juventus.

O’Brien telah dipinjamkan secara percuma ke AC Lugano (1999-2000),  Crotone (2000-2001),  Lecco (2001-2002) dan  Dundee United (2002).

Jadi anda rasa, perancangan apakah yang Juventus ingin lakukan sebenarnya.

Membeli Ronnie O’Brien dengan nilai harga sebanyak 900 Euro dan menjualnya semula kepada kelab lain secara pecuma ?

3. Julien Faubert  (Real Madrid)


Julien Faubert menyertai Real Madrid secara pinjaman dari West Ham United.

Itulah berita perpindahan paling pelik sepanjang sejarah kelab terbaik di Eropah itu.

Mana tidaknya, ketika itu, Los blancos sudah memiliki tiga pemain yang bermain di posisi pertahanan kanan, iaitu Sergio Ramos, Michel Salgado, dan Miguel Torres.

Pemerhati bola sepak sudah dapat meramalkan bahawa Julien Faubert bakal mengalami kesukaran untuk bersaing merebut posisi utama pasukan dan perkara itu benar terjadi.

Faubert hanya dipinjamkan ke Real Madrid dalam tempoh satu musim sahaja bermula dari 2008 sehingga 2009.

Pada perancangan awal, Real Madrid berhasrat untuk membeli Faubert dengan menyambungkan kontraknya selama tiga musim jika prestasi beliau memuaskan bersama kelab mereka di musim pertama.

Akan tetapi, malang bagi Faubert apabila lensa kamera merakam beliau tertidur dibangku simpanan ketika perlawanan sedang berlangsung.

Perkara tersebut mengundang kemarahan pihak pengurusan. Faubert dikenakan tindakan disiplin dimana beliau tidak benarkan menyertai latihan bersama pasukan.

Faubert hanya sempat beraksi dalam dua perlawanan bersama Real Madrid ketika bertemu Racing de Santander dan Villarreal.

4. Mineiro (Chelsea)


Pengurus Chelsea, Luiz Fellipe Scolari membawa Mineiro menyertai Chelsea dari Hertha Berlin pada tahun 2008.

Walaupun Chelsea telah mendedahkan berita mengenai pembelian pemain dari Brazil itu, namun tarikh rasmi kehadiran Mineiro di London masih dirahsiakan.

Sehinggalah pada 7 November, pihak pengurusan telah mengadakan sidang akhbar di pusat latihan Chelsea di Cobham, Surrey.

Semasa sidang akhbar tersebut, secara rasminya Mineiro disahkan sebagai pemain baru The Blues dengan penjanjian kontrak semusim dan bermain sebagai pemain tengah pilihan ketiga Chelsea, di belakang Michael Essien dan John Obi Mikel.

Mineiro hanya bermain dua kali untuk Chelsea, pertama bertemu Sunderland dan menentang Burnley dalam Piala Liga.

Mineiro pada mulanya diharapkan dapat mengambil alih posisi yang ditinggalkan Michael Essien akibat kecederaan.

Namun, kehadiran Mineiro ke kem The Blues seperti tidak diperlukan.

Hal ini kerana Chelsea sudah memiliki John Obi Mikel yang mampu mengisi tempat Essien sepenuh masa.

Ternyata, pembelian Mineiro amat tidak menguntungkan pasukan.

5. Dong Fangzhuo (Manchester United)


Dong Fangzhuo merupakan pemain Asia Timur pertama yang menyertai Manchester United sebelum kemunculan Park Jing-Sung.

Pemain kelahiran China ini menyertai United dari Dalian Shide pada tahun 2004 dengan harga £3.5 juta.

Selain mengharapkan khidmat Fangzhuo, tujuan United mendatangkan pemain ini adalah untuk mempromosi pasukan dan meningkatkan penjualan jersi Manchester United di benua Asia.

Namun sebaliknya, kehadiran Fangzhuo gagal memberi impak buat pasukan.

Perjanjian kontrak selama empat tahun dibuat oleh Manchester United ibarat memakan diri sendiri.

Fangzhuo dilihat gagal untuk bersaing dengan pemain-pemain di Liga Perdana Inggeris.

Selepas perbincangan diadakan, pihak pengurusan memutuskan Fangzhuo dipinjamkan ke kelab Belgium, Royal Antwerp dan kemudian dijual semula ke asalnya, Dalian Shide pada tahun 2008.

6. Papy Djiloboji (Chelsea)


Peminat The Blues tiba-tiba dikejutan dengan kemunculan pemain tidak pernah dikenali berasal dari negara Senegal, iaitu Papy Djiloboji.

Apa yang lebih mengejutkan, Chelsea bersetuju menandatangani penjanjian kontrak dengan Papy selama empat tahun.

Kehadiran Papy tidak mendapat persetujuan ramai pihak dan menganggap pembelian ini sebagai satu pembaziran.

Ini kerana ketika itu Chelsea sudah memiliki ramai pemain yang bermain diposisi pertahanan tengah seperti Kurt Zouma, Gary Cahill, John Terry, dan Branislav Ivanovic.

Ternyata, khidmat Papy bersama The Blues tidak diperlukan sama sekali.

Papy sama sekali tidak berpeluang beraksi bersama Chelsea.

Justeru itu, pihak pengurusan telah memutuskan untuk meminjamkan beliau kepada Wender Bremen sebelum menjualnya kepada Sunderland.

7. Bebé (Manchester United)


Manchester United mahu mencari pengganti Cristiano Ronaldo yang telah berhijrah menyertai Real Madrid pada tahun 2009.

Pihak pengurusan seolah-olah buntu untuk mendapatkan calon yang terbaik menggantikan bintang Portugal itu.

Kehadiran Gabriel Obertan dan Mame Biram Diouf masih gagal memuaskan pengurus pasukan, Sir Alex Ferguson.

Pada tahun 2010, Manchester United telah berusaha mencari pemain baru dan akhirnya mereka secara rasminya memperkenalkan Bebé atau nama sebenarnya Tiago Manuel Dias Correia sebagai pemain baru untuk pasukan mereka.

Bebé didatangkan dari Vitoria de Guimares dengan nilai perpindahan sebanyak £7,4 juta.

Penyerang sayap Portugal itu diperkenalkan bersama Javier Hernandez dan Chris Smalling. Namun, penampilan Bebé amat mengecewakan dan aksi beliau tenggelam di Old Trafford.

Bebé termasuk antara pembelian paling terburuk yang pernah dilakukan Manchester United ketika era Sir Alex Ferguson.

Sir Alex Ferguson sendiri mengakui beliau melakukan kesilapan besar membawa masuk pemain itu ke United dengan hanya menilai permainannya menerusi rakaman video melalui cadangan pembantu jurulatihnya, Carlos Queiroz.

Lebih mengejutkan Manchester United ketika itu sudah mengintai James Rodriguez namun menukar sasaran perpindahan kepada Bebe.

8. Lee Grant (Manchester United)

Bagi yang belum mengetahui, Lee Grant merupakan pemain kelahiran England dan kini sudah berusia 35 tahun.

Manchester United menandatangani penjaga gol, Lee Grant daripada Stoke City, tanpa mendedahkan yuran perpindahan sebenar.

Namun, media Britain telah melaporkan perpindahan tersebut bernilai sekitar £1.5 juta pound.

Sepanjang kariernya, sebelum bersama Stoke City pada musim lepas, Grant hanya bermain bersama pasukan-pasukan di liga bawahan seperti Derby County, Oldham Athletic, Burnley, Sheffield Wednesday.

Kehadiran Grant mengundang tanda tanya penyokong Red Devils sehingga hari ini, sedangkan pasukan mereka sudah memiliki dua penjaga gol terbaik dunia, David De Gea dan Sergio Romero dan penjaga gol muda berbakat Joel Castro Pereira.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN