AC Milan bebas untuk beraksi di kancah saingan UEFA Europa League (UEL) pada musim hadapan selepas Mahkamah Timbang Tara untuk Sukan (CAS) membatalkan arahan UEFA yang menggantung penyertaan kelab Serie A itu daripada pertandingan Eropah selama dua tahun.
UEFA sebelum ini bertindak menyingkirkan Rossoneri dari bertanding di Eropah untuk musim 2018/19 dan 2019/20 selepas didapati bersalah melanggar peraturan melibatkan syarat perlesenan dan arahan kewangan (financial fair play).
Milan yang kini dimiliki oleh Elliott Advisors Limited yang berpengkalan di Amerika Syarikat sebelum ini melakukan rayuan kes kepada CAS, dan hari ini panel khas yang diwujudkan untuk kes tersebut sebulat suara membenarkan 7 kali juara eropah itu untuk bertanding di peringkat benua.
Dalam satu kenyataan di laman tas-cas.org, badan kehakiman untuk sukan itu menjelaskan bahawa kedudukan kewangan pasukan yang berpusat di San Siro ini telah melalui penambahbaikan yang meyakinkan di bawah pemilikan baharu.
Bagaimapanapun, CAS menolak permintaan arahan penyelesaian kepada UEFA dari Milan, sambil menegaskan beberapa isu masih tertakluk kepada jawatankuasa disiplin badan induk bola sepak eropah tersebut.
Kes Milan pada mulanya dirujuk kepada UEFA beberapa bulan yang lalu selepas mencatatka kerugian dalam laporan kewangan sejak beberapa tahun yang lalu.
Musim 2017/18 menyaksikan skuad kendalian Gennaro Gattuso ini menduduki tangga ke-6 Serie A, sekaligus melayakkan diri ke saingan UEL.
Sering kali tampil untuk menjelaskan memiliki kedudukan kewangan yang stabil selepas pengambil alihan oleh Li Yonghong pada tahun lalu, kes mereka tetap di bawah pemerhatian UEFA.
Apatah lagi pada musim yang sama, Milan berbelanja besar untuk mendapatkan pemain-pemain seperti Leonardo Bonucci, Hakan Calhanoglu dan Andre Silva.
Malah perkhabaran dari Itali turut menyebut Milan berusaha untuk menjual pemain yang merupakan aset berharga kepada pasukan itu seperti pemain pertahanan, Bonucci dan juga penjaga gol, Gianluigi Donnarumma.