Perak meraih kemenangan bergaya pada perlawanan ke-20 unifi Liga Super Malaysia 2018 selepas menundukkan Kuala Lumpur 5-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.
Yob mengganas di babak pertama
Perak begitu selesa pada babak pertama selepas mendahului Kuala Lumpur dengan berkelebihan empat gol tanpa balas.
Gilmar Jose Da Silva Filho membuka tirai jaringan seawal minit ke-7 hasil kesilapan dilakukan pemain pertahanan, Zhafri Yahya yang cuba melakukan hantaran ke Irfan Zakaria.
Gilmar lebih pantas bagi menghalang hantaran tersebut untuk meluru ke pintu gol tuan rumah sekaligus meledak rembatan yang terus menewaskan Mohd Sharbinee Allawee Ramli.
Skuad bimbingan Mehmet Durakovic menambah jaringan kedua selepas Wander Luiz Bitencourt Junior berjaya menyempurnakan sepakan penalti berselang empat minit kemudian.
Sepakan penalti dihadiahkan pengadil perlawanan, Fitri Maskon selepas Bobirjon Akbarov mengasari Mohd Nor Hakim Hassan dalam kotak penalti.
Tidak cukup dengan dua jaringan awal tersebut, Nor Hakim menambah duka buat Kuala Lumpur pada minit ke-17.
Lorongan menarik dari ketua pasukan, Nasir Basharudin terus mencari Nor Hakim yang pantas melarikan bola melepasi kawalan pertahanan Kuala Lumpur bagi memberikan ruang buat beliau untuk melepaskan rembatan kaki kiri yang memberikan gol ketiga.
Perak terus bernafsu menambah jaringan dan Nazrin Nawi pula meletakkan nama selaku penjaring gol keempat pada minit ke-36.
Anak didik Fabio Maciel Da Silva juga turut berusaha keras untuk menghasilkan jaringan dengan mencipta enam percubaan tepat.
Bagaimanapun, beberapa percubaan berbahaya dimiliki terutamanya menerusi Guilherme De Paula dan Paulo Josue berjaya dinafikan Hafizul Hakim Khairul Nizam.
Separuh masa kedua
De Paula memberikan sedikit nafas buat Kuala Lumpur apabila mencipta jaringan bagi merapatkan jurang gol hanya 24 saat selepas aksi babak kedua bersambung.
Perak kembali memperkemaskan aksi dengan melancarkan siri serangan ke kubu Kuala Lumpur.
Peluang terbaik skuad The Bos Gaurus itu menjelma pada minit ke-57 apabila Nasir yang berhadapan dengan Sharbinee melepaskan rembatan yang sedikit tersasar di bahagian kiri pintu gol Kuala Lumpur.
Nasir sekali lagi terlepas peluang untuk menjaringkan gol selepas sepakan percuma cantik yang diambil dari jarak jauh ditepis keluar Sharbinee di minit ke-69.
Ketika Perak kian ghairah memburu jaringan, Achmad Jufriyanto mengumpan bola cantik ke arah De Paula yang tidak dikawal.
Namun, kuisan yang dilakukan penjaring utama Kuala Lumpur itu ketika hanya berhadapan dengan Hafizul Hakim begitu menghampakan.
Gilmar menutup pesta jaringan pasukan Perak selepas beliau menyempurnakan sepakan penalti pada lewat permainan untuk menoktahkan kemenangan 5-1 buat skuad Yob.
Kemenangan bergaya yang diperoleh Nasir Basharudin dan rakan sepasukan mengukuhkan kedudukan Perak di tangga kedua liga bagi mengumpul 35 mata dengan 10 kemenangan, lima seri dan lima kekalahan.