Croatia mencipta sejarah layak buat pertama kali ke final Piala Dunia selepas menundukkan England 2-1 pada perlawanan yang berlanjutan ke masa tambahan sebentar tadi.
Sepakan percuma Kieran Trippier beri kelebihan buat England
England tidak menunggu lama bagi membuka tirai jaringan setelah Kieran Trippier meledakkan sepakan percuma menarik yang terus menerjah gawang Croatia seawal minit ke-5.
Skuad bimbingan Gareth Southgate yang mempamerkan corak permainan pantas di babak pertama terutamanya menerusi Raheem Sterling secara berterusan memberikan tekanan buat Croatia.
Minit ke-14 menyaksikan sepakan sudut yang diambil Trippier tepat ke kepala Harry Maguire, bagaimanapun tandukan yang dilakukan pertahanan Leicester City itu sedikit tersasar.
Luka Modric dan rakan sepasukannya juga sesekali berusaha dalam mengancam barisan pertahanan England.
Percubaan tepat yang pertama buat Croatia hadir pada minit ke-32 menerusi rembatan dari luar kotak penalti oleh Ante Rebic.
Penjaga gol England, Jordan Pickford bagaimanapun dengan mudah menangkap kemas ledakan yang dilepaskan Rebic itu.
Skuad The Three Lions terus ditekan seminit kemudian selepas hantaran lintang daripada Ivan Perisic terus mencari Rebic yang berada di ‘far post’.
Usaha tersebut masih menemui jalan buntu apabila Ashley Young lebih pantas bagi mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Jaringan tunggal dari Trippier pada awal permainan telah memisahkan kedua-dua pasukan setelah wisel penamat babak pertama ditiup pengadil perlawanan dari Turki, Cuneyt Cakir.
Ivan Perisic hidupkan sisa perjuangan Croatia
Bagaikan disuntik tonik berguna dalam bilik persalinan ketika waktu rehat separuh masa pertama, Croatia tampil dengan lebih meyakinkan pada separuh masa kedua.
Di samping menguasai permainan, anak didik Zlatko Dalic turut mengkucar-kacirkan jentera pertahanan England dengan beberapa serangan berbahaya.
Jaringan yang dinantikan Croatia menjelma pada minit ke-68 setelah Ivan Perisic menyambar hantaran lintang yang dilakukan Sime Vrsaljko bagi kembali menyamakan kedudukan.
Salah faham di antara John Stones dan Pickford hampir menghukum England di minit ke-71.
Kesilapan tersebut digunakan sepenuhnya oleh Perisic untuk meluru pantas bagi memburu jaringan, mujur percubaan yang dilakukannya terkena tiang gol pasukan England.
Percubaan susulan dari Rebic pula berjaya ditangkap kemas Pickford untuk menyelamatkan keadaan.
Croatia yang semakin ghairah menyerang ke kubu England tidak berupaya menambah jaringan dan England pula kental bertahan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Masa tambahan
Gareth Southgate membawa masuk Danny Rose bagi menggantikan Ashley Young untuk memberikan nafas baru dalam corak serangan England.
Tandukan John Stones pada minit ke-99 hampir memberikan jaringan buat England tetapi Vrsaljko lebih pantas menyelamatkan keadaan.
Mario Mandzukic juga turut terlepas peluang keemasan pada minit akhir masa tambahan separuh masa pertama selepas menerima hantaran lintang cantik dari Perisic.
Percubaannya berjaya diselamatkan Pickford ketika beliau hanya berhadapan dengan penjaga gol utama England itu.
Mandzukic akhirnya menebus kekecewaan tersebut dengan jaringan kemenangan pada minit ke-109 selepas beliau merembat masuk bola hasil tandukan ke belakang yang dilakukan Perisic.
Jaringan tersebut membawa Croatia ke perlawanan akhir bagi menempah pertemuan menentang Perancis pada Ahad nanti di Luzhniki Stadium, Moscow.