Tumpaskan Perak 2-1 Di Ipoh, JDT Sahkan Kejuaraan Liga Super 2018

JDT

Johor Darul Ta’zim dinobatkan selaku juara unifi Liga Super Malaysia 2018 selepas menewaskan Perak 2-1 di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.

Kejuaraan tersebut merupakan kali kelima berturut-turut buat JDT yang pertama kali memenanginya pada tahun 2014.

Terikat tanpa jaringan di babak pertama

Aksi pada babak pertama tidaklah begitu mendebarkan apabila tidak banyak gerakan berbahaya dan percubaan tepat yang dicipta kedua-dua pasukan.

Percubaan pertama perlawanan ini hanya hadir di minit ke-22 menerusi Gilmar Jose Da Silva Filho.

Rembatan dalam kotak penalti yang dilakukan pemain kelahiran Brazil itu bagaimanapun hanya singgah di tepi jaring gawang JDT.

Selepas itu, anak buah Raul Longhi memperkemaskan aksi dalam usaha merobek pintu gol tuan rumah.

Ahmad Hazwan Bakri terlepas peluang keemasan bagi membuka tirai jaringan apabila ledakan yang dilakukannya dinafikan Hafizul Hakim Khairul Nizam walaupun beliau hanya berhadapan dengan penjaga gol kebangsaan tersebut.

Tiga percubaan dalam tempoh lima minit yang dicipta JDT juga masih tidak membuahkan hasil akibat ketumpulan jentera serangan mereka.

Penyokong tuan rumah hampir melonjak kegembiraan selepas Gilmar yang melepasi perangkap ofsaid di lewat permainan babak pertama, melakukan larian pantas untuk melepaskan rembatan ke pintu gol JDT.

Namun, ledakan tersebut sempat ditepis Farizal Marlias lalu bola terkena tiang gol.

Kemasukan Safawi Rasid beri aura juara

Aksi separuh masa kedua lebih menarik untuk disaksikan dengan gerakan-gerakan menarik dicipta terutamanya yang dihasilkan skuad pelawat.

Gonzalo Cabrera melepaskan rembatan menarik dari luar kotak penalti pada minit ke-51 tetapi Hafizul lebih tangkas bagi menghalang percubaan tersebut.

Berselang empat minit kemudian, giliran Fernando Marquez pula menguji gawang Perak menerusi sepakan percuma menarik yang mudah ditangkap kemas Hafizul.

Perak yang turut mengasak ke kubu JDT hampir di hadapan selepas sepakan percuma dari Leandro Dos Santos Oliveira pula singgah di tiang gol.

Gol yang dinanti-nantikan akhirnya menjelma pada minit ke-72 apabila Mohd Nor Hakim Hassan yang mendapat lorongan Wander Luiz Bitencourt Junior, melepaskan rembatan yang terus menewaskan Farizal.

Kegembiraan Perak tidak kekal lama selepas JDT kembali menyamakan kedudukan berselang dua minit kemudian.

Jaringan berpunca daripada sepakan percuma yang diambil pemain gantian, Muhammad Safawi Rasid lalu ditanduk masuk Hariss Harun untuk keputusan kembali terikat 1-1.

Safawi muncul wira JDT selepas pemain muda itu pula menanduk masuk bola hasil hantaran lintang dari sebelah kiri pintu gol Perak yang sekaligus menobatkan skuad Harimau Selatan sebagai juara unifi Liga Super Malaysia 2018.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN