Perjalanan Sweden dalam saingan Piala Dunia 2018 berakhir pada aksi suku akhir apabila tunduk 2-0 di tangan England semalam.
Di sebalik kekalahan yang dihadapi, para pemain Sweden mendapat pujian selepas kemaraan tersebut adalah yang pertama kali selepas 24 tahun.
Legenda Sweden, Zlatan Ibrahimovic juga tidak terkecuali bagi menghamburkan kata pujian buat skuad yang dibimbing Janne Andersson itu.
Dalam laman Twitter miliknya, Zlatan menyifatkan bahawa setiap pemain yang membarisi skuad Sweden di Rusia wajar diberikan ‘Golden Ball’ di tanah air mereka.
”Apa yang mereka lakukan akan sentiasa menjadi ingatan.”
”Terima kasih dengan persembahan yang diberikan,” ujar Zlatan lagi.
Every player should get a golden ball in Sweden. What they did will be remembered forever. Thank you for the show pic.twitter.com/VsoaUY6W99
— Zlatan Ibrahimović (@Ibra_official) July 7, 2018
Sweden bermula dengan baik apabila mencatatkan kemenangan sulung menewaskan Korea Selatan 1-0.
Namun, mereka terpaksa berputih mata selepas kecewa pada lewat permainan ketika bertemu Jerman.
Penentuan perlawanan terakhir peringkat kumpulan menyaksikan Sweden cemerlang menumpaskan Mexico 3-0 untuk layak ke pusingan 16 terbaik.
Ketika mereka tidak diberikan harapan, skuad Blagult (The Blue-Yellow) mengenepikan cabaran Switzerland sebelum kecundang 2-0 di tangan England dalam saingan suku akhir.