Perlawanan suku akhir Piala Dunia 2018 bakal menyaksikan Sweden bertemu England dalam misi ke separuh akhir.
Kedua-dua pasukan bukanlah pasukan yang boleh dipandang rendah, hal ini kerana Sweden dan England kelihatan setara dari segi keupayaan bermain sebagai sebuah pasukan.
Musuh yang dikenali
Bagi kedua-dua pasukan, Sweden dan England adalah musuh yang dikenali antara satu sama lain.
Bagi jurulatih Sweden iaitu Janne Andersson, pelbagai perkara harus dibuat dengan tepat sekiranya mereka ingin tewaskan England.
“Bola sepak bukanlah satu perkara yang mudah, ia perlu dilihat dari keseluruhan perkara juga.”
“Banyak perkara yang perlu dilakukan dengan betul sekiranya hendak menewaskan pasukan seperti England.”
“Kami perlu bertahan dengan betul, kami perlu bermotivasi ketika menguasai bola dan mempunyai idea yang jelas ketika hendak menyerang. Kami mahu semua itu dilaksanakan ketika perlawanan.”
Bagi jurulatih England iaitu Gareth Southgate, beliau menggangap Sweden sebagai pasukan yang sangat kuat.
“Saya rasakan mereka adalah pasukan yang cukup-cukup kuat.”
“Lihat saja prestasi mereka, mereka tewaskan Perancis di pusingan kelayakan, singkirkan Itali di peringkat play-off dan juga menjadi punca kepada kekalahan Jerman di Piala Dunia.”
“Jelas sekali mereka adalah pasukan yang cukup kuat, jadi kita kena benar-benar beraksi baik untuk menang.”
Pemain tumpuan
Dalam perlawanan ini, penulis menumpukan perhatian kepada Emil Forsberg.
Lupakan Marcus Berg dan ketumpulan beliau di depan pintu gol, Forsberg adalah pemain yang perlu diberikan tumpuan ketika beraksi di atas padang.
Pemain yang menjaringkan gol tunggal dalam perlawanan mereka menentang Switzerland tempoh hari jelas merupakan pemain yang boleh memberikan bahaya kepada England dari posisi sayap pada perlawanan ini.
Sementara bagi England, Harry Kane merupakan tumpuan penulis pada perlawanan ini.
Jelas sekali, Kane adalah sumber gol England di Piala Dunia kali ini.
Ketajaman penyudah beliau dan juga kebolehan fizikal beliau membolehkan beliau cukup kompetitif ketika beraksi menentang pertahanan lawan.
Perlu diingat, beliau juga merupakan pemain yang cukup tajam dari jarak 12 meter ketika mengambil sepakan penalti!
Sebelum sepak mula
Perlawanan ini mempunyai signifikannya yang tersendiri dalam Piala Dunia.
Jika Sweden berjaya layak, mereka akan menikmati perlawanan separuh akhir yang pertama sejak Piala Dunia 1994.
Bagi England pula, mereka dapat mengubah nasib mereka yang sering dianggap malang ketika pusingan kalah mati apabila sering tumbang awal.
Semoga berjaya buat kedua-dua pasukan.