Penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois pada musim ini tidaklah mempunyai musim yang baik bersama Chelsea.
Hasil daripada itu, beliau sering memperoleh kritikan pedas dari para pengkritik di atas prestasi beliau.
Namun pada perlawanan Piala Dunia 2018 menentang Brazil, Courtois telah berjaya membuktikan kredibiliti beliau sebagai salah seorang penjaga gol handalan.
Beliau telah menghasilkan aksi yang cukup cemerlang pada perlawanan tersebut dengan menyelamatkan beberapa percubaan penting Brazil.
Hal ini sekali gus bagi beliau, telah berjaya menutup mulut pengkritik yang selama ini mengkritik beliau.
“Saya telah dikritik hebat sepanjang tahun ini dan dalam perlawanan menentang Brazil saya telah membuktikan sekali lagi siapa saya dan kenapa saya berada di Piala Dunia.”
Courtois jelas cemerlang ketika menentang Brazil dan ianya ditambah dengan tindakan beliau menafikan percubaan Neymar pada minit-minit terakhir perlawanan.
Menurut Courtois lagi, kejayaan menewaskan Brazil adalah hasil daripada aksi yang cukup teratur dari wakil Eropah itu.
“Pelan taktikal kami nyata menjadi. Kami rasakan hari ini adalah hari kami. Ia adalah satu impian sejak kecil untuk berada di Piala Dunia.”
“Ia cukup menakjubkan. Pasukan ini mahu menang setiap perlawanan, ketika menentang England ada yang kata kami patutnya elok saja kalah tetapi kami tetap menang.”
“Kami ada keyakinan dalam pasukan kami.”
Belgium menyingkirkan Brazil untuk mara ke separuh akhir hasil dari jaringan sendiri Fernandinho dan juga rembatan Kevin De Bruyne.
Hasil dari kemenangan ini juga, hanya akan ada wakil dari Eropah sahaja untuk fasa separuh akhir Piala Dunia 2018.