Salah seorang legenda di Santiago Bernabeu, Jose Maria Gutierrez Hernandez atau lebih dikenali sebagai Guti bakal meninggalkan kelab gergasi Sepanyol tersebut.
Laporan menyebut bekas pemain tengah yang kini merupakan jurulatih skuad remaja Real Madrid itu akan menyertai kelab Turki, Besiktas bagi mengisi jawatan penolong pengurus.
Ini bermakna Guti bakal menjadi pembantu kepada pengurus berpengalaman Turki, Senol Gunes.
Menerusi satu muatnaik di laman Instagram miliknya, Guti telah mengumumkan perkara tersebut dan kelihatan turut disambut dengan baik para penyokong Besiktas.
”Hari ini, saya mahu mengucapkan terima kasih buat Real Madrid, rumah saya bertahun-tahun sepanjang saya menikmati sebagai pemain bola sepak dan jurulatih.”
”Dalam beberapa hari lagi, saya akan menjadikan Besiktas sebagai rumah baru saya, di mana akan menjadi penolong pengurus dan saya boleh terus berkembang secara profesional.”
”Saya berterima kasih kepada Besiktas kerana cinta dan kepercayaan yang diberikan terhadap saya. Saya akan kembali mengembalikannya kepada anda dengan kerja yang banyak dan bersemangat.”
”Saya dan keluarga menantikan pengembaraan di Istanbul ini. Mari kita lakukannya! Sentiasa ‘Black Eagles’ (merujuk kepada maskot pasukan Besiktas).
Besiktas bukanlah asing bagi individu yang berusia 41 tahun itu apabila beliau berhijrah ke kelab gergasi Turki tersebut sebaik sahaja meninggalkan Real Madrid pada Julai 2010.