Colombia berjaya mengelak dari tersingkir di peringkat kumpulan walaupun tumpas 2-1 pada perlawanan pertama saingan kumpulan bertemu Jepun.
Kebangkitan mencatatkan dua kemenangan keatas Poland dan Senegal selepas itu telah menemukan skuad bimbingan Jose Pekerman dengan England pada peringkat 16 terbaik.
Mengetahui kekuatan pasukan yang bakal ditentang itu, penjaga gol Colombia, David Ospina tetap tidak gentar untuk menanti cabaran pasukan yang dibarisi pemain nama besar dalam Liga Perdana Inggeris tersebut.
”Kami adalah pasukan yang lebih baik berbanding empat tahun lalu. Kami bersama-sama, lebih berpengalaman dan adalah satu pasukan yang kuat berbanding ketika kami di Brazil.”
”Kami mempunyai pengalaman dan kualiti yang baik. Para pemain kami beraksi dengan pasukan yang terbaik dan liga yang terbaik, jadi tiada apa yang menakutkan kami.”
”England adalah sebuah pasukan yang baik tetapi kami tidak memikirkan siapa yang akan kami temui. Kami hanya tahu yang kami akan memberikan segalanya untuk negara kami dan mengambil kekuatan daripada sokongan peminat.”
”Kami sentiasa memberikan segalanya buat negara. Ia merupakan penghormatan bagi bermain untuk Colombia.”
Dalam pada itu, sokongan yang diberikan para penyokong Colombia juga mencuri perhatian penjaga gol Arsenal itu.
”Sokongan yang diberikan sangat luar biasa. Ia menjadikan inspirasi buat kami. Terdapat orang Colombia di seluruh dunia tetapi sokongan di sini, di Rusia, bermakna segala-galanya buat kami.”