The Guardian melaporkan yang Chelsea sudah bersedia untuk mengumumkan Maurizio Sarri sebagai pengurus baru mereka menjelang minggu hadapan.
Chelsea dijangka akan memecat Conte dan mengumumkan Sarri secara rasmi sebelum 9 Julai 2018. Chelsea kini dikhabarkan sedang berbincang dengan Napoli untuk mendapatkan Sarri.
Chelsea sebelum ini menyatakan mereka berminat mendapatkan Sarri dan Napoli meminta klausa perlepasan £9 juta. Ianya telah ditolak Chelsea.
Chelsea sedar, Napoli perlu melepaskan pengurus mereka itu selepas melantik Carlo Ancelotti sebelum ini. Mungkin sebab itu mereka mahu menawar harga.
Maurizio Sarri masih ada kontrak dengan Napoli selama setahun lagi. Chelsea dilaporkan enggan mengalah untuk mendapatkan Sarri.
Ini selepas kegagalan Antonio Conte membawa pasukan tersebut mara ke UCL. 9 Julai adalah tarikh para pemain melapor diri untuk pra-musim. Jadi, Chelsea mahu menyegerakan kedatangan Sarri ke kelab tersebut.
Selain daripada berita pengurus, Chelsea juga dikaitkan dengan beberapa pemain yang mereka mahu bawa masuk. Ini termasuk Alisson Becker, Daniele Rugani dan Aleksandr Golovin.
Penyokong Chelsea agak resah dengan pra-musim pasukan mereka musim ini. Ini selepas mereka masih belum ada sebarang aktiviti dalam bursa perpindahan. Isu pengurus pula masih tergantung.
Antonio Conte yakin beliau masih diperlukan di Chelsea dan berkali-kali menyatakan beliau akan mengendalikan Chelsea musim hadapan.
Ada pihak menuduh Roman Abramovich sudah tawar hati untuk berbelanja di Chelsea dan mahu menjual kelab tersebut.
Hal itu dinafikan pihak Abramovich yang menyatakan komitmen beliau ke atas Chelsea. Namun terpaksa menangguhkan beberapa urusan kerana isu kerakyatan beliau.