Beliau adalah salah seorang pemain terhebat dalam sejarah Piala Dunia. 8 tahun lalu, jaringan beliau pada 2010 adalah jaringan yang meletakkan nama Sepanyol sebagai Juara Dunia.
Ianya dianggap jaringan paling penting dalam sejarah bola sepak Sepanyol oleh salah seorang pemain paling penting mereka sepanjang zaman.
Sejak dahulu lagi pasukan La Roja kerap diletakkan sebagai pasukan pilihan dalam Piala Dunia, namun mereka sentiasa dihampakan. Akhirnya, Iniesta dan generasi emas Sepanyol menamatkan penantian itu.
Semalam, Iniesta mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Dunia. Ini selepas Sepanyol tersingkir mengejut di peringkat 16 pasukan akhir di tangan Rusia dalam penentuan sepakan penalti.
Ini adalah sepakan terakhir Iniesta untuk pasukan Sepanyol.
Andrés Iniesta's final kick of a football for #ESP. pic.twitter.com/gXnEWf7jZA
— Squawka Live (@Squawka_Live) July 1, 2018
Iniesta bermain 131 untuk La Roja sepanjang karier beliau memenangi 1 Piala Dunia dan 2 Kejohanan Eropah.
Dalam temasya Piala Dunia kali ini, pada usia beliau, Iniesta masih lagi pemain utama pasukan dan ramai bersetuju yang Iniesta adalah pemain terbaik Sepanyol dalam edisi kali ini.
Iniesta seperti dijangka, mengumumkan persaraan beliau daripada arena antarabangsa. Beberapa bulan lalu, beliau sah meninggalkan kelab yang beliau sayangi Barcelona dan akan bermain di Jepun pada musim baru.
Bercakap kepada wartawan selepas tamat perlawanan, Iniesta berkata:
“Kami sudah mencuba sedaya upaya, tetapi lawan kami juga berusaha dan melaksanakan tugas mereka. Penentuan penalti memang sentiasa kejam.”
“Tiada siapa harus dipersalahkan dalam penentuan penalti. Ianya situasi sangat sukar dan kita akan belajar daripada pengalaman itu.”
Iniesta sahkan persaraan antarabangsa
“Benar, ini adalah perlawanan terakhir saya untuk pasukan kebangsaan negara saya selepas karier yang indah. Semua yang bermula itu pasti akan berakhir.”
“Kadangkala, pengakhirannya tidak seperti yang anda impikan. Ini bukannya ‘selamat tinggal’ yang indah, namun itulah bola sepak dan hidup.”
“Saya meninggalkan pasukan ini dengan rasa perit, kami gagal untuk mara lebih lagi.”
“Secara keseluruhannya, saya rasa hari ini adalah hari paling sedih dalam karier saya.”
“Di mana ada persaingan, di situ pasti ada pemain, kita ada generasi pemain baru yang berkualiti dan juga para pemain yang berada di tahap tertinggi.”
“Apa yang paling penting adalah cuba untuk mencapai kejayaan sekali lagi. Ianya tak mudah. Ianya rumit daripada yang kita sangkakan, namun begitu, pasukan kebangsaan ini akan terus mengibarkan cabaran.”