Selepas dipalit kekecewaan terbesar setelah tersingkir awal di peringkat kumpulan dalam saingan Piala Dunia 2018, pengurus Jerman, Joachim Low mengakui terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan bagi membina pasukan tersebut untuk kembali bangkit.
Juara Piala Dunia 2014 di Brazil itu ditunjukkan jalan keluar selepas kecundang 1-0 dan 2-0 ditangan Mexico dan Korea Selatan manakala hanya meraih satu kemenangan pada perlawanan menentang Sweden.
Dalam pada itu, masa depan Low juga masih belum dapat dipastikan sama ada beliau akan terus membimbing Jerman atau tidak.
”Kami pernah menghadapi situasi ini apabila pasukan tersingkir pada Kejuaraan Eropah 2004 di peringkat kumpulan.”
”Selepas itu, terdapat banyak perubahan. Selepas 14 tahun kami semakin baik dan bertambah baik, kami menjadi pasukan paling konsisten di dunia pada 10 tahun terakhir dan kami adalah juara dunia.”
”Tetapi kini, dengan penyingkiran dan kekecewaan yang besar, kami perlu mencerminkan akibatnya dan melakukan langkah yang betul.”
”Kami memerlukan perubahan, perubahan yang besar dan mengenai perkara tersebut, kami perlu berbincang.”
Low turut menyatakan terlalu awal untuk melihat punca kepada kegagalan Jerman pada edisi kali ini.
”Ia terlalu awal untuk diperkatakan mengenainya. Sudah tentu, kami bercakap tentang perkara ini. Tetapi tidak ada satu sebab atau alasan kenapa kami gagal.”
”Terdapat lebih banyak alasan dan ia merupakan tanggungjawab saya untuk membuat analisis. Ia juga adalah tanggungjawab saya untuk mendapatkan bola sepak tahap tinggi dalam tempoh empat minggu ini dan ia tidak berjalan dengan baik.”
”Sekarang, kami memerlukan sedikit masa dan beberapa perbincangan dan kami akan memberikan jawapannya.”