Colombia menamatkan saingan kumpulan H di tangga teratas selepas berjaya menundukkan Senegal 1-0 pada perlawanan yang berlangsung sebentar tadi.
Colombia lebih mengawal permainan di babak pertama dengan penguasaan bola sebanyak 57%.
Di sebalik penguasaan tersebut, skuad bimbingan Jose Pekerman itu hanya mampu menjelmakan satu percubaan tepat ke arah pintu gol Senegal.
Satu-satunya percubaan yang dimiliki adalah menerusi sepakan percuma yang dilakukan Juan Quintero pada minit ke-13.
Sepakan yang baik dari Quintero itu bagaimanapun berjaya ditepis keluar penjaga gol Senegal, Khadim N’Diaye.
Selepas itu, Senegal kelihatan lebih mengancam dengan dua percubaan tepat berjaya dilakukan menerusi Keita Balde dan Ismaila Sarr.
Senegal turut terlepas peluang keemasan bagi menjaringkan gol apabila sepakan penalti yang pada mulanya diberikan selepas pengadil perlawanan, Milorad Mazic mendakwa Davinson Sanchez Sadio Mane tidak diterima Video Assistant Referee (VAR).
Colombia dirundung malang apabila bintang mereka, James Rodriguez terpaksa dikeluarkan pada minit ke-31 akibat kecederaan yang dialaminya.
Aksi yang lebih kurang serupa ditampilkan pada separuh masa kedua apabila tidak banyak serangan berbahaya yang dilancarkan kedua-dua pasukan.
Jaringan yang ditunggu-tunggu penyokong Colombia di Samara Arena akhirnya muncul pada minit ke-74 menerusi pemain pertahanan, Yerry Mina.
Mina melonjak tinggi bagi menanduk masuk bola hasil sepakan sudut yang diambil Quintero untuk memecahkan kebuntuan.
Berselang tiga minit kemudian, David Ospina bertindak cemerlang dengan menghalang rembatan yang dilakukan M’baye Niang sekaligus menggagalkan peluang terbaik Senegal bagi menyamakan kedudukan.
Usaha kedua-dua pasukan untuk mencari jaringan menemui jalan buntu sehingga tamat permainan dan jaringan dihasilkan Yerry Mina sudah cukup untuk membawa Colombia ke peringkat 16 terbaik.
Senegal yang memulakan kempen dengan meyakinkan terpaksa akur apabila Jepun akan mengiringi Colombia berdasarkan sistem ‘fair play’ FIFA.