Para penyokong Sweden pastinya kecewa dengan pasukan mereka yang tumbang pada minit-minit akhir di tangan Jerman tempoh hari.
Mereka tumbang 2-1 dengan Toni Kroos menjaringkan gol menarik pada minit-minit terakhir permainan.
Kekecewaan itu adalah normal dalam bola sepak, namun kali ini penyokong Sweden telah melampaui batas dalam mengekspresikan kekecewaan mereka.
Sebahagian penyokong Sweden telah mengambil keputusan dengan mengugut bunuh pemain yang bertanggungjawab memberikan sepakan percuma minit akhir kepada Jerman iaitu Jimmy Durmaz.
Mereka mengugut untuk membunuh pemain itu dan juga memberikan kata-kata kesat berbaur perkauman di laman Instagram milik pemain itu.
Kata-kata sebegitu dilemparkan kerana pemain itu merupakan pemain Sweden yang berketurunan Syria.
Oleh kerana banyak kecaman dilakukan, Sweden FA telah mengambil keputusan untuk melakukan laporan polis terhadap kecaman yang dilakukan.
“Kami tidak akan bertolenrasi dengan situasi di mana pemain terdedah dengan ancaman dan keganasan.”
“Ia amatlah tidak menyenangkan untuk melihat situasi yang dihadapi oleh Jimmy Durmaz. Amatlah tidak boleh diterima.”
Menurut Sweden FA, mereka telah meneliti komen yang diberikan dan badan induk bola sepak Sweden itu berpendapat yang sesetengah komen telah melampaui batas dan pemilik akaun tersebut seharusnya disiasat oleh pihak polis.
Rakan sepasukan Durmaz, John Guidetti secara terbuka menghentam segelintir penyokong Sweden yang bertindak mengutuk pemain tersebut secara berlebihan.
“Beliau berlari dan berusaha keras sepanjang perlawanan ini. Ia cuma tidak bernasib baik sahaja.”
“Cukup bodoh untuk berikan segala kebencian terhadap beliau kerana kesilapannya.”
Durmaz telah pun memberikan respon terhadap kecaman yang diterima beliau menerusi Instagram dalam nada yang cukup positif.
Sebelum ini, pemain Colombia iaitu Carlos Sanchez menerima ugutan bunuh oleh penyokong sendiri selepas menerima kad merah ketika menentang Jepun.
Dalam perlawanan itu, Jepun menang 2-1.