Pemain pertahanan Sepanyol, Jordi Alba tampil mempertahankan Lionel Messi selepas pemain itu mempamerkan penampilan yang mengecewakan sehingga telah mencetuskan kritikan dari para peminat di Rusia.
Jelas Alba, beliau berasa hairan dengan majoriti kritikan yang dilemparkan kepada rakannya itu.
Beliau turut mempersoalkan mengapa kritikan demi kritikan hanya ditujukan kepada Messi sahaja.
“Saya tidak boleh bayangkan hal itu. Dia (Lionel Messi) selalu menerima kritikan.”
“Sehingga kini, saya masih tidak faham mengapa hal seperti itu terjadi.” katanya.
Alba yang juga rakan sepasukan Messi di Barcelona turut berpendapat bahawa, pasukan Argentina tidak akan sempurna dalam permainan tanpa kehadiran Messi.
“Sejujurnya bagi saya, Argentina tidak akan sempurna dan tidak mampu bermain dengan baik tanpa Messi.”
Tambahnya lagi, “Messi seorang pemain unik. Saya tahu, dia masih belum berjaya membantu pasukan untuk meraih gelaran juara (Piala Dunia).”
“Tetapi, anda harus memuji dan bangga atas usaha yang dia lakukan bersama Argentina.”
Selepas ini, peminat bolasepak terutama penyokong Argentina pasti mahu menyaksikan bagaimana penampilan Messi pada perlawanan akhir nanti.
Selepas mengharungi dua perlawanan di kumpulan D, Argentina sekadar mengutip satu mata selepas seri 1-1 dengan Iceland sebelum tewas keatas Croatia 0-3.
Argentina berdepan tugas sukar pada perlawanan terakhir mereka apabila harus menewaskan Nigeria dengan jumlah jaringan yang besar bagi mencerahkan peluang mereka untuk melangkah ke peringkat seterusnya.