Korea Selatan dikecewakan pada perlawanan pertama kumpulan F akibat keputusan Video Assistant Referee (VAR) yang menghadiahkan sepakan penalti buat Sweden pada minit ke-65.
Sepakan penalti yang disempurnakan oleh Andreas Granqvist itu menjurus kepada kekalahan (1-0) buat skuad bimbingan Shin Tae-Yong dalam aksi sulung di Rusia.
Nasib berbeza dihadapi Mexico apabila skuad El Tri berjaya melakukan kejutan dengan menewaskan juara bertahan, Jerman hasil jaringan dari Hirving Lozano untuk kemenangan 1-0.
Menjelang perlawanan kedua yang menemukan kedua-dua pasukan di Rostov Arena jam 11.00 malam ini, Korea Selatan ibarat singa terluka yang ingin bangkit memperagakan aksi terbaik mereka.
Manakala, Mexico sudah pasti tidak mahu terus dibuai kejayaan tempoh hari dan memasang impian untuk meraih satu lagi kemenangan yang bakal memberikan peluang besar buat skuad Juan Carlos Osorio itu layak ke peringkat kalah mati.
Korea Selatan perlu perkemaskan aksi
Seandainya Korea Selatan mahu meraih kejayaan pada perlawanan malam ini, skuad bimbingan Shin Tae-Yong itu perlu memperbaiki segenap aspek yang diperlukan terutamanya di bahagian serangan.
Melihatkan statistik perlawanan ketika bertemu Sweden, Korea Selatan gagal menghasilkan sebarang percubaan tepat ke arah pintu gol lawan.
Keadaan itu diakui pengurus berusia 49 tahun tersebut dan beliau mengharapkan agar sandaran utama pasukan, Son Heung Min dapat mempamerkan aksi terbaiknya.
”Saya rasa dia adalah pemain terbaik buat semua pemain Asia tetapi jika anda melihat kepada aksinya bertemu Sweden , kami menghadapi terlalu banyak kesukaran, kami terpaksa beraksi dengan lebih bertahan.”
”Dia terpaksa berkorban dan tidak dapat beraksi pada tahap terbaik yang dimilikinya.”
”Diharapkan esok (malam ini) dia akan mempunyai lebih banyak ruang dan dapat mempamerkan keupayaannya yang sebenar.”
Mexico enggan dibuai kejayaan tumpaskan Jerman
Berjaya menumpaskan pasukan pilihan yang merupakan juara bertahan pastinya melonjakkan moral pasukan Mexico menjelang pertemuan bertemu wakil Asia itu.
Mengambil kira corak permainan terutamanya pada 30 minit awal ketika bertemu Jerman, anak buah Juan Carlos Osorio itu mempunyai ramuan yang mencukupi untuk meraih satu lagi kemenangan bermakna.
Namun, Osorio enggan memandang mudah cabaran yang bakal diberikan Korea Selatan itu dan tidak mahu anak buahnya terlalu yakin.
”Diharapkan kami tidak dibuai oleh kejayaan (menewaskan Jerman). Kami sangat mengetahui dalam bola sepak, setiap perkara boleh berubah dengan sekelip mata.”
”Kami akan menentang sebuah pasukan yang begitu keras corak permainannya, walaupun jika kami mempunyai peluang untuk memenanginya. Semua pemain perlu fokus. Kami tidak datang ke Piala Dunia hanya untuk menewaskan Jerman.”
Pemain tumpuan
Ayam tambatan, Son Heung-Min akan sekali lagi menjadi sandaran utama buat Korea Selatan terutamanya bagi mencipta gerakan serta menyudahkan peluang untuk merobek gawang Mexico.
Diharapkan rakan sepasukannya dapat memberikan bantuan dan sokongan yang cukup dalam usaha beliau untuk menghidupkan serangan buat Korea Selatan.
Apa yang terjadi pada perlawanan lalu, beliau tidak mendapat sokongan dari rakan sepasukan walaupun Son berusaha keras untuk mewujudkan peluang.
Hirving Lozano dan Javier Hernandez mungkin menjadi pilihan ramai untuk menyinar pada perlawanan ini.
Tetapi bagi penulis, penjaga gol Mexico, Guillermo Ochoa yang bertindak cemerlang dengan menafikan sembilan percubaan tepat pada perlawanan bertemu Jerman dijangka akan terus mempamerkan ketangkasannya.
Tidak mustahil Ochoa mampu untuk menjadi pemain yang bakal menggagalkan usaha Korea Selatan bagi mencari kemenangan pada malam ini.
Fakta menarik melibatkan kedua-dua pasukan
- Pertemuan terakhir dalam Piala Dunia melibatkan Korea Selatan dan Mexico adalah pada edisi 1998 dimana pasukan dari Amerika Tengah itu menang 3-1 pada peringkat kumpulan.
- Mexico berjaya menang kesemua tiga perlawanan dalam saingan Piala Dunia bertemu wakil Asia dengan menjaringkan tujuh gol dan bolos dua jaringan.
- Korea Selatan tidak pernah menang dalam tujuh perlawanan terakhir dalam saingan Piala Dunia apabila mencatatkan keputusan seri dua perlawanan dan kalah dalam lima perlawanan. Mereka turut tewas tiga perlawanan berturut-turut.
- Mexico pula hanya tewas dua perlawanan dalam 18 perlawanan terakhir di peringkat kumpulan (menang sembilan perlawanan dan seri tujuh perlawanan)
Sebelum sepak mula
Di atas kertas, Mexico dilihat lebih berpeluang untuk memperoleh kemenangan pada perlawanan bertemu Korea Selatan pada perlawanan ini.
Corak permainan yang lebih bertenaga dipamerkan pada perlawanan sulung menjadikan sebab utama Mexico menjadi pilihan untuk keluar sebagai pemenang.
Bagaimanapun Korea pasti akan memperbaiki segala yang diperlukan untuk membuktikan kehadiran mereka dalam saingan Piala Dunia kali ini bukanlah sekadar sebagai pelengkap kumpulan semata-semata.