Naib juara Liga Super 2017, Pahang membuat persiapan rapi untuk memastikan sasaran meraih satu piala pada musim ini menjadi kenyataan apabila bakal melayan kunjungan pasukan PKNP FC pada aksi separuh akhir pertama Shopee Piala FA di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.
Namun begitu, skuad Tok Gajah yang beraksi di perlawanan akhir Piala FA musim lepas kini berhadapan dengan masalah ketiadaan beberapa tonggak utama yang dilanda kecederaan dan digantung perlawanan.
Tiga tonggak skuad Pahang tidak dapat disenaraikan untuk aksi bertemu PKNP FC iaitu kapten pasukan, Matthew Davies, Safuwan Baharudin dan Nor Azam Azih yang digantung perlawanan kerana kad kuning pada perlawanan sebelumnya.
Justeru, skuad kendalian Dollah Salleh itu perlu membuat percaturan dalam usaha memperkemaskan jentera tengah dan pertahanan Tok Gajah daripada memberi ruang kepada lawan menjaringkan gol.
Bercakap kepada Berita Harian, pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, ketiadaan tiga pemain utama itu begitu dirasai ketika misi pasukan ke pentas final piala berprestij itu.
“Segalanya perlu dilakukan barisan pemain sedia ada untuk menyekat PKNP daripada merekodkan kemenangan terutama menjaringkan gol.
“Apa yang perlu dilakukan adalah untuk memperkemaskan jentera tengah dan pertahanan kerana pengalaman Davies, Safuwan dan Azam begitu diharapkan.
“Tapi, saya yakin dengan pemain yang akan mengisi kekosongan itu. Mereka mampu beraksi dengan baik untuk memastikan Pahang mencatat kemenangan sebagai bekalan apabila beraksi pada separuh kedua nanti,” katanya.
Dengan rekod cemerlang PKNP FC dalam aksi Liga Super, Pahang selaku tuan rumah perlu memanfaatkan kelebihan itu untuk mencatat kemenangan selesa sebelum bertandang ke gelanggang lawan untuk aksi separuh akhir kedua.