Sepanyol meraih kemenangan pertama dalam aksi kumpulan B saingan Piala Dunia 2018 selepas menundukkan Iran 1-0 pada perlawanan yang berlangsung di Kazan Arena sebentar tadi.
Pada perlawanan pertama, Sepanyol terikat 3-3 ketika menentang Portugal manakala Iran menang tipis 1-0 keatas Maghribi.
Tanpa jaringan di separuh masa pertama
Penguasaan secara total dipamerkan Sepanyol pada babak pertama dengan penguasaan bola sebanyak 82%.
Ternyata taktikal para pemain Iran dengan kompak di bahagian pertahanan begitu efektif apabila jentera tengah dan serangan Sepanyol kelihatan begitu terdesak untuk mencari gol pembukaan.
Kesemua pemain Sepanyol kecuali David De Gea lebih banyak menghabiskan masa di kawasan Iran dalam mencari ruang untuk memecahkan benteng pertahanan skuad bimbingan Carlos Queiroz itu.
Hanya satu percubaan tepat berjaya dicipta Sepanyol pada 45 minit pertama permainan menerusi sepakan percuma dari David Silva yang terus ke dakapan penjaga gol Iran, Alireza Beiranvand.
David Silva menjadi pemain yang paling kerap mengancam kubu Iran setelah menghasilkan satu percubaan tepat dan tersasar serta tiga percubaan yang berjaya dihalang pertahanan.
Jaringan Diego Costa ubah keputusan
Sepanyol terus menekan Iran sebaik sahaja aksi bersambung dengan percubaan cantik dari luar kotak penalti menerusi Sergio Busquets berjaya dinafikan Beiranvand pada minit ke-50.
Pemain sayap kiri Iran, Karim Ansarifard hampir meletakkan Iran di hadapan tiga minit berselang, namun percubaan ‘first-timer’ dari pemain Olympiacos itu hanya menggegar di tepi jaring gol Sepanyol.
Seminit kemudian, Sepanyol akhirnya berjaya membuka tirai jaringan selepas bola yang cuba dikeluarkan oleh pertahanan, Ramin Rezaeian terkena Diego Costa lalu meleret masuk ke dalam pintu gol Iran.
Iran cuba bangkit untuk menyamakan kedudukan dan Saied Ezatolahi hampir merealisasikan harapan tersebut setelah berjaya menjaringkan gol minit ke-60.
Namun, beliau terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid tatkala Saied sudah pun meraikan jaringan tersebut bersama rakan sepasukannya.
Usaha Sepanyol dan Iran bagi menambah jumlah gol selepas itu gagal membuahkan hasil apabila gerakan-gerakan yang dilancarkan menemui jalan buntu.
Dengan kemenangan ini meletakkan Sepanyol ditangga kedua kumpulan B. Terikat empat mata bersama Portugal yang berada di tangga teratas.
Iran menghuni tangga ketiga dan perlu menang keatas Portugal pada aksi terakhir bagi melayakkan diri buat pertama kali ke saingan kalah mati.