Perlawanan Kumpulan G di Piala Dunia 2018 akhirnya dimulakan dengan pertemuan di antara Belgium dan Panama.
Seawal minit pertama perlawanan menyaksikan Belgium memulakan rentak serangan dengan Romelu Lukaku merembat tinggi hantaran Yannick Carrasco.
Panama turut tidak ketinggalan dari mencuba nasib untuk mendahului perlawanan melalui percubaan Edgar Bárcenas dari luar kotak penalti, namun tersasar.
Selepas itu perlawanan lebih banyak dikawal oleh Belgium. Kesilapan oleh pemain Panama, Roman Torres yang cuba menghantar bola ke belakang pada minit ke-11 hampir dihukum, apabila ianya dipintas oleh Eden Hazard.
Mujurlah percubaan dari sudut sukar penyerang Chelsea itu tidak menepati sasaran.
30 minit perlawanan berlangsung, Panama dilihat lebih selesa berkampung di tempat sendiri membiarkan Belgium menyerang.
Minit ke-38, larian Hazard ke dalam kotak penalti hampir membuahkan hasil, namun rembatannya berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Panama.
Belgium yang menguasai perlawanan pada babak pertama ini akhirnya terpaksa berpuas hati dengan kedudukan 0-0.
Belgium hanya memerlukan lima minit pada babak kedua perlawanan untuk berada 1-0 di hadapan.
Kegagalan Roman Torres mengeluarkan dengan kemas bola hantaran lintang oleh Belgium disambut dengan satu voli cantik oleh Dries Mertens untuk Belgium berada 1-0 di hadapan.
Panama memiliki peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-55 perlawanan, namun Courtois lebih cemerlang menafikan percubaan Michael Murillo dalam situasi satu lawan satu.
Belgium semakin selesa di hadapan apabila Romelu Lukaku menanduk masuk hantaran lintang Kevin De Bruyne pada minit ke 69 untuk anak buah Roberto Martinez selesa 2-0 di hadapan.
Martinez terus tersenyum lebar selepas itu apabila Belgium berada 3-0 di hadapan selepas Lukaku sekali lagi menjadi duri dalam daging, kali ini menyempurnakan hantaran rendah Eden Hazard.
Sekali sekala Panama cuba untuk melakukan asakan untuk mendapatkan gol saguhati, namun Panama terus buntu oleh kecemerlangan Courtois.
Kedudukan 3-0 kekal sehingga wisel penamat, dan Belgium mengumpul 3 mata pertama di dalam Kumpulan G.