Unai Emery dan Arsenal dilaporkan sudah menghantar bidaan bernilai £17 juta untuk bek tengah, David Luiz dari seteru mereka Chelsea.
Sebagai rekod, Chelsea membeli semula David Luiz daripada PSG dengan nilai £34 juta pada Ogos 2016.
Musim 2016/17, David Luiz menjadi nadi penting yang membantu Chelsea menjuarai EPL di bawah kendalian Antonio Conte dalam musim debut Conte.
Luiz adalah pertahanan yang gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama Chelsea pada musim lalu. Kesannya, beliau terlepas untuk ke Piala Dunia 2018.
Luiz dan Conte tidak sehaluan pada musim lalu. Conte juga dengan terbuka mengkritik Luiz yang tidak bersungguh-sungguh mahu memenangi semula tempat beliau di dalam pasukan utama.
Sky Sports turut menyatakan buat masa ini, tiada tanda-tanda Arsenal akan melakukan bidaan baru yang lebih tinggi.
Arsenal dilaporkan dalam proses akhir untuk memuktamadkan perjanjian dengan Sokratis Papastathopoulos.
Mereka juga dikatakan akan memuktamadkan perjanjian dengan Lucas Torreira yang kini bersama Uruguay dalam Piala Dunia.
Jelas sekali keutamaan Unai Emery buat masa ini adalah pertahanan. Unai Emery akan berhadapan dengan 2 kelab big six dalam 2 perlawanan awal mereka musim hadapan iaitu Manchester City dan Chelsea.
Adakah Arsenal akan berjaya membawa David Luiz ke Emirates? Jika berjaya, ada kemungkinan kita menyaksikan aksi Luiz menentang Chelsea dengan jersi Arsenal.