Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilaporkan bakal menjadi pemegang saham kecil dalam kelab gergasi Itali, AC Milan.
Menurut laporan daripada bernama, media Itali melaporkan Presiden AC Milan, Yonghong Li sudah berunding dengan rakyat Malaysia berketurunan Melayu bagi membeli saham dalam kelab berkenaan.
https://twitter.com/rossonerinew/status/1006978758362923009
Namun begitu, tiada pengesahan rasmi bahawa individu dimaksudkan ‘berketurunan Melayu’ seperti dipetik media Itali itu.
“Tunku Mahkota berminat dengan Milan. Pencarian terus untuk nama rakan kongsi yang akan menyokong Li Yonghong dalam pengurusan syarikat Via Aldo Rossi, bermula daripada rakan kongsi minoriti pada masa hadapan, mungkin, menjadi presiden kelab,” dipetik daripada PremiumSportHD.
https://twitter.com/TheDevil1899/status/1006864825501315072
AC Milan diambil alih oleh Pemilik dari China pada tahun 2016, setelah bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi, melepaskan kelab berkenaan.
Walaupun membelanjakan lebih 150 juta Euro untuk pembelian pemain pada musim panas lepas, prestasi kelab tersebut mengecewakan setelah Milan menamatkan saingan di tempat keenam Serie A, selain tersingkir daripada Liga Eropah selepas tewas 1-5 secara agregat kepada Arsenal pada Pusingan 16 pasukan.
Dua tahun lalu, media tempatan melaporkan Tunku Ismail menunjukkan minat terhadap kelab itu dan TMJ kemudian menafikan laporan berita tersebut.
Malah, laman facebook Johor Southern Tigers (JST) mengeluarkan poster yang memaparkan gambar baginda dan Ayahanda, Sultan Ibrahim dengan kelab AC Milan. Ianya sekaligus menguatkan lagi khabar angin mengenai pembelian saham ini.
Dalam temu bual dengan The Straits Times Singapura pada April 2016, TMJ berkata:
“Saya bercadang membeli AC Milan, tetapi akan melihat dulu keadaan sebelum membuat sebarang keputusan. Saya suka Milan dan meminati kelab Itali itu sejak kecil. Tapi, fokus utama saya tetap kepada JDT.
“Tapi, sekiranya saya boleh melabur untuk kelab bola sepak di Eropah, ia sudah pasti di AC Milan.” katanya.
Jika benar TMJ memiliki saham dalam AC Milan, baginda akan menjadi individu kedua dari Asia Tenggara yang memiliki kelab Itali selain jutawan dari Indonesia, Erick Thohir yang memiliki kelab Inter Milan.
Selain itu, antara individu lain dari Asia Tenggara yang memiliki saham dalam kelab eropah ialah Peter Lim dari Singapura yang pernah membeli kelab Sepanyol, Valencia, kelab Liga Perdana Inggeris Leicester City, yang kini dikuasai oleh ahli perniagaan Thailand, Vichai Srivaddhanaprabha dan Tony Fernandes yang memiliki Queens Park Ranger.