Perlawanan pembukaan Kumpulan B akan dimulakan dengan pertemuan wakil Afrika, Maghribi dan wakil dari Asia, Iran.
Di dalam kumpulan yang turut memuatkan gergasi dari Eropah seperti Portugal dan Sepanyol, perlawanan ini dianggap wajib menang bagi kedua-dua pasukan, jika ingin memasang impian mara ke peringkat seterusnya.
1. Kontroversi melanda Iran
Dari segi politik dan hubungan luar, Iran dikenali sebagai sebuah negara Islam yang tidak mempunyai hubungan baik dengan Amerika Syarikat.
Perkara itu kembali menghantui mereka menjelang persiapan dan sepak mula kempen mereka di Rusia pada kali ini.
Selepas perlawanan persahabatan menentang Greece dan Kosovo dibatalkan, Iran mendapat perkhabaran syarikat sukan terkenal dunia, Nike tidak akan membekalkan kasut but untuk kegunaan pemain mereka di Rusia.
Ini berikutan sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap negara tersebut.
Adakalanya, kesukaran boleh dijadikan pendorong untuk mencapai kejayaan.
“Kami tidak pernah menggunakan permintaan maaf atau sebarang justifikasi. Kami menggunakan segala kesukaran sebagai inspirasi untuk meningkatkan motivasi ketika turun beraksi,” kata juruatih Iran, Carlos Queiroz.
2. Bintang Afrika Utara
Ketika Maghribi menjuarai saingan peringkat kumpulan di Piala Dunia 1986 untuk menjadi negara Afrika pertama bejaya berbuat demikian, hanya beberapa pemain skuad hari ini sahaja sudah dilahirkan.
Bersama Maghribi di saingan peringkat kumpulan di Mexico pada ketika itu ialah England, Poland dan juga Portugal.
Mengetuai skuad Maghribi dalam kempen di Rusia ialah pemain kelahiran Perancis juga bek tengah Juventus, Mehdi Benatia.
Berpasangan dengan Benatia di bahagian benteng ialah bek tengah Wolverhampton Wanderers yang akan beraksi di EPL pada musim hadapan, Romain Saiss.
Posisi bek sayap turut boleh diisi oleh pemain yang berpengkalan di Eropah, dengan bintang muda Real Madrid Achraf Hakimi (gambar atas) dan bek sayap Lille di Ligue 1 Perancis, Hamza Mendyl turut dijangka akan diturunkan.
Di bahagian tengah, Maghribi turut memiliki Mbark Boussoufa yang pernah beraksi selama lima musim di Liga Rusia bersama Anzhi Makhachkala dan Lokomotiv Moscow.
Skuad ini juga memiliki pemain sayap Ajax, Hakim Ziyech untuk dipertaruhkan di bahagian sayap.
3. Taktikal
Iran adalah negara paling menyerlah di kalangan pasukan Asia yang melayakkan diri ke Piala Dunia.
Skuad bimbingan Queiroz melalui kempen kelayakan benua Asia tanpa merekodkan kekalahan sepanjang 18 perlawanan.
Iran sering beraksi menggunakan formasi 4-1-4-1. Pasukan ini sebenarnya kurang mempunyai fludity dalam permainan mereka, dan juga tidak bagus dalam mengekalkan penguasaan bola.
Namun corak permainan direct mereka sering kali menghukum kesilapan lawan. Iran akan sentiasa cuba menghantar bola ke bahagian hadapan, sama ada melalui bahagian sayap atau tengah, dan memaksa lawan melakukan kesilapan untuk menjaringkan gol.
Maghribi pula memilih corak permainan lebih moden dengan 4-3-3/4-2-3-1 sering menjadi pilihan.
Bersandarkan sistem pivot di setiap transisi pertahanan dan serangan, Maghribi juga cenderung melakukan pressing terhadap lawan di garisan atas dengan memaksa pemain lawan ke arah bahagian sisi padang.
Ia adalah langkah awal untuk mematikan gerakan lawan, sekaligus merampas kembali bola untuk serangan balas.
4. Pemain tumpuan
Bintang utama Iran ialah Alireza Jahanbakhsh yang menhasilkan 21 jaringan dan 12 bantuan gol untuk AZ Alkmaar di Eredivisie pada musim lalu.
Namun jika dari segi impak, anda mungkin tidak mahu terlepas nilai aksi Sardar Azmoun yang beraksi bersama Rubin Kazan di Rusia.
Here’s a thread on why Sardar Azmoun, a player you may never have heard of, is a top-5 header of the ball in the world and may be the breakout star of #WorldCup2018. ??
First, here’s a warm-up clip of Azmoun putting Jerome Boateng on his backside in the UCL. pic.twitter.com/3mymIe0KbA
— Камеран Алавы ⚽ (@camtotheyams) May 14, 2018
Kekuatan utama pemain dengan nama jolokan ‘Messi Iran’ ini ialah sentuhan penyudah yang pelbagai, sama ada melalui tandukan, atau pun ketika menyambut lorongan rakan sepasukan.
Di kem Maghribi, kepimpinan Mehdi Benatia sebagai kapten pasti ditagih dan pengalaman Mbark Boussoufa yang pernah beraksi di Rusia sebelum ini turut diharapkan tenang mengemudi bahagian tengah.
Jurulatih Maghribi, Herve Renard turut akan mencari inspirasi dariapada pemain berusia 20 tahun, Amine Harit yang cemerlang bersama skuad utama Schake di Bundesliga pada musim lalu.
Harit adalah penerima anugerah ‘Bundesliga Rookie of the Year’ walaupun hanya mulai beraksi di Bundesliga pada musim lalu.
Sebelum sepak mula
Kedua-dua pasukan mempunyai rekod kemenangan yang cukup baik menuju ke Piala Dunia di Rusia.
Perlawanan ini dijangka sengit, namun menarik untuk diikuti sebagai dua pasukan underdog yang mahu melakukan kejutan di dalam Kumpulan B.