Drama pra-Piala Dunia 2018 bermula semalam selepas FA Sepanyol telah membuat keputusan untuk memecat jurulatih mereka, Julen Lopetegui dari tugasnya.
Keputusan ini dilakukan selepas FA Sepanyol mendapati Lopetegui melanggar kontrak dengan menandatangani kontrak untuk menjadi pengurus Real Madrid selepas Piala Dunia.
Tindakan mengejut itu telah mengejutkan ramai pihak dengan keputusan kini diambil dalam masa kurang dari 48 jam sebelum Piala Dunia bermula.
Dengan pemergian Lopetegui, FA Sepanyol telah membuat keputusan untuk melantik Fernando Hierro sebagai jurulatih sementara Sepanyol.
Hierro yang merupakan pengarah teknikal bagi FA Sepanyol dilantik sebagai pengganti berkuatkuasa serta-merta.
Beliau akan mengendalikan sesi latihan Sepanyol dan akan bertugas untuk perlawanan pertama Sepanyol menentang Portugal.
Jimat 2 juta
Siapakah yang beruntung dalam isu Lopetegui ini? Semestinya Real Madrid!
Real Madrid dikatakan telah jimat sebanyak €2 juta selepas FA Sepanyol memecat Lopetegui.
Hal ini kerana, Real Madrid pada mulanya ingin membayar klausa tebus kontrak sebanyak €2 juta kepada FA Sepanyol untuk mendapatkan Lopetegui selepas Piala Dunia.
Namun selepas jurulatih itu dipecat, beliau kini telah menjadi ejen bebas dan Real Madrid boleh mendapatkan beliau secara percuma.
Lopetegui bakal menjadi pengurus Real Madrid selama 3 tahun menurut kontrak yang telah dipersetujui.
Beliau yang merupakan bekas pemain dan pengurus Real Madrid Castilla, hanya pernah melakukan 1 penampilan sahaja bersama skuad utama Los Blancos.