Pengurus baharu Arsenal, Unai Emery nampaknya serius untuk mengukuhkan benteng skuadnya. Kini, dia dalam pemburuan pemain tengah pertahanan, Lucas Torreira.
Arsenal setakat ini telah mengesahkan penyertaan pertahanan sayap, ‘The Swiss Express’ Stephan Lichsteiner secara percuma dari kelab Itali, Juventus pada 5 Jun lalu.
The Gunners turut dikhabarkan telah sah menandatangani pertahanan tengah, Sokratis Papastathopoulos dari Borussia Dortmund dengan nilai perpindahan £17.5 juta.
Kehadiran Sokratis dikatakan hanya akan diumumkan selewat-lewatnya pada 1 Julai depan. Begitupun, menurut Metro, bapa Sokratis telah mendedahkan perkara ini.
Kini, pemain muda Uruguay, Torreira pula berada dalam radar Emery untuk menambah kekuatan fizikal di benteng. Torreira berusia 22 tahun dan beraksi di posisi tengah bertahan.
Dia adalah pemain yang dinamik dan memiliki sepakan padu serta biasa meledak gol-gol menerusi set-piece di Sampordia. Dia merupakan pemain tengah yang keras dan agresif.
Torreira telah lama dipantau oleh ketua pemantau bakat, Sven Mislintat semenjak dari era Arsene Wenger, namun kini Arsenal dikatakan sudah serius untuk mendapatkannya.
Menurut laporan Daily Mail, Sampordia khabarnya telah menerima tawaran £26.5 juta Arsenal kepada pemainnya itu dan pembayaran dijangka akan dibuat berkala dalam tempoh 3 tahun.
The Gunners juga menambah nilai perpindahan tersebut untuk menewaskan persaingan daripada Napoli yang turut berminat untuk mendapatkan tandatangannya.
Arsenal kini dalam proses akhir perbincangan dengan wakil pemain tersebut di Milan dan telah menawarkan kontrak 5 tahun kepadanya dengan keyakinan dia akan bersetuju.
Torreira yang baharu memiliki 3 kaps bersama Uruguay kini berada di Rusia untuk saingan Piala Dunia 2018. Dijangka dia antara pemain muda yang akan menjadi tumpuan di Rusia.
Sampordia sebelum ini telah menjelaskan bahawa mana-mana kelab yang berminat untuk mendapatkannya perlu mula membida dengan nilai klausa pelepasannya.
“Semua orang tahu. Sesiapa sahaja yang mahukan Torreira perlu usahakan klausa pelepasannya dahulu, £26 juta,” ujar Presiden Sampordia, Massimo Ferrero.
Sementara itu, Arsenal turut dikatakan dalam pemburuan penjaga gawang baharu. Namun dengan bajet perpindahan yang semakin menipis, Emery perlu melepaskan beberapa pemainnya.