England bukanlah sebuah pasukan yang begitu diletakkan harapan terlalu tinggi dalam saingan Piala Dunia kali ini.
Edisi 2014 di Brazil juga memperlihatkan kelonggaran pada aksi skuad Three Lions ini apabila sekadar menduduki tangga tercorot kumpulan D di belakang Costa Rica, Uruguay dan Itali.
England yang ketika itu dibimbing Roy Hodgson tewas kepada Uruguay dan Itali dengan keputusan 2-1 manakala seri tanpa jaringan bertemu Costa Rica.
Bagi menghadapi saingan di Rusia, pengurus England, Gareth Southgate mensasarkan untuk sekurang-kurangnya layak ke peringkat suku akhir serta dapat menyajikan aksi yang menghiburkan para penyokong.
Dalam pada itu, Southgate turut percaya skuad mudanya berada di landasan yang tepat untuk merealisasikan apa diharapkannya.
”Kami harap dapat membawa orang pergi untuk bekerja pada hari berikutnya setelah menikmati perlawanan kami, saya tahu apa pengalaman kejohanan ini dan kami benar-benar mahu membawakannya.”
”Kami tahu perjalanan terlalu jauh, tetapi kami berfikir orang melihat tanda-tanda peningkatan dan menikmati apabila menonton permainan kami dan cara kami untuk cuba bermain.”
”Kami dilihat sebagai satu pasukan yang saling gembira, bertambah baik, sangat berbangga untuk mewakili negara.”
”Mereka (para pemain) mempunyai bakat, keinginan yang sebenar dan menyimpan tekad bagi bermain untuk England.”
“Kami meminta orang ramai untuk membayar sejumlah wang yang banyak untuk menonton perlawanan bola sepak. Akhirnya, kami mahu menghiburkan mereka di mana yang kami boleh.”
England akan memulakan aksi di Rusia dengan berdepan Tunisia pada 19 Jun dan kemudiannya menentang Panama pada 24 Jun.
Pertembungan menarik pada perlawanan terakhir kumpulan (29 Jun) apabila Gareth Southgate dan anak buahnya akan bertemu Belgium.