Zinedine Zidane yang memilih untuk meninggalkan Real Madrid mengakui tidak melakukan perkara sedemikian hanya kerana mahu menggalas tanggungjawab selaku pengurus skuad kebangsaan Perancis.
Pengurus berusia 45 tahun itu membuat keputusan drastik tersebut sebaik sahaja berjaya membawa Real Madrid menjulang Liga Juara-Juara Eropah buat kali ke-13.
Zidane yang merupakan wira Perancis dalam kempen Piala Dunia 1998 mengakui itu bukanlah perkara yang bermain di mindanya walaupun beliau antara nama yang dikaitkan bagi menjadi pengganti rakan seangkatannya, Didier Deschamps.
Bagi beliau, keputusannya itu langsung tidak mempunyai kaitan dengan skuad kebangsaan Perancis.
”Perkara yang paling penting adalah untuk memberikan sokongan terhadap pasukan Perancis.”
”Saya berhenti (membimbing Real Madrid) bukan untuk mengambil alih pasukan Perancis,” jelas Zidane bercakap kepada TF1.
”Saya di belakang pasukan kebangsaan Perancis. Kami mahu mereka membawa pulang kejuaraan kedua.”
Zidane ketika ini turut mengakui masih belum membuat sebarang keputusan berkenaan masa depannya, selepas mengharungi karier sebagai pengurus yang berjaya dan tekanan ketika di Santiago Bernabeu.
”Saya tidak tahu apa yang akan saya lakukan. Perkara yang paling penting yang akan lakukan adalah dengan berehat dan kemudian kita akan lihat.”
Nama Zinedine Zidane meningkat naik sebagai pemain adalah ketika membantu Perancis menjuarai saingan Piala Dunia 1998 di laman sendiri.
Bertemu pasukan pilihan, Brazil pada perlawanan akhir, Zidane menghasilkan dua jaringan pada babak pertama untuk kemenangan 3-0.
Lapan tahun kemudian di Jerman, Zidane sekali lagi mampu untuk membantu Perancis meraih kejuaraan.
Namun tindakan ‘melulu’nya terhadap Marco Materazzi pada masa tambahan menyebabkan beliau diperintah keluar padang dan akhirnya Perancis berputih mata selepas tewas menerusi penentuan sepakan penalti.