Paul Pogba antara pemain memperkuatkan barisan Les Blues untuk menghadapi kejohanan Piala Dunia nanti.
Namun, penampilan Pogba bersama skuad kebangsaan telah menerima pelbagai kritikan berikutan prestasinya yang kurang memuaskan bersama Manchester United pada musim ini.
Disebalik tohmahan dan kritikan yang dilemparkan kepada Pogba, legenda Perancis, Marcel Desailly tampil memberi sokongan moral kepada pemain berusia 25 tahun itu.
Bercakap kepada Goal, Desailly menyifatkan Paul Pogba memiliki keistimewaan dan kualiti yang lebih baik berbanding semua pemain Perancis pada Piala Dunia 1998.
“Dia (Pogba) lebih berbakat daripada semua pemain ketika generasi saya (Juara Piala Dunia 1998).”
Desailly turut menjawab dakwaan dan kritikan dari sesetengah individu yang menyifatkan Pogba tidak layak bersama Perancis pada Piala Dunia di Rusia nanti.
“Pogba menghadapi pelbagai tekanan dari sekeliling dan memberi kesan pada permainannya dalam jangka masa yang panjang.” katanya.
“Semua orang tahu tentang potensi luar biasa yang dimilikinya dan saya berpendapat kita semua mahukan lebih daripada itu darinya.”
Tambahnya lagi, “Dia mampu melakukan perbezaan tetapi pemain lain juga harus memainkan peranan mereka untuk memimpin pasukan.”
Diundi dalam Kumpulan C, skuad Didier Deschamps akan memulakan kempen Piala Dunia 2018 menentang Australia 16 Jun sebelum bertemu Costa Rica dan Denmark pada 21 dan 26 Jun ini.