Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengumumkan kemasukan pemain import baharu dari Brazil, Cristiano Marcolino Santos yang akan beraksi di posisi serangan skuad itu bagi menggantikan seorang lagi pemain import dari Tunisia Alaeddine Bouslimi.
Pemain yang berusia 30 tahun itu, memulakan karier bersama kelab Brazil Confianca (2007) dan kelab terakhir yang diwakili adalah Hassania Agadir FC di Liga Maghribi.
Kelantan kini mempunyai 4 pemain import yang terdiri daripada Cassio Fransisco De Jesus (Brazil) dan pemain import baharu slot Asia, Bakhtiyar Duishobekov (Kyrgyzstan) serta Lazarus Kaimbi (Namibia).
Mereka turut menamatkan kontrak pemain import yang beraksi di posisi tengah iaitu Morgaro Gomis.
Thanks for your service, two years running through the pitch with your two lungs. Goodluck in your career, Morgaro 'Kante' Gomis‼️ #FarewellGomis #MerciGomis pic.twitter.com/BDABtYA80W
— 𝔹𝕖𝕣𝕚𝕥𝕒 𝔹𝕠𝕝𝕒 𝕂𝕖𝕝𝕒𝕟𝕥𝕒𝕟 (@TwtBolaKelate) June 12, 2018
Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan turut mengesahkan KAFA mengikat kontrak dengan Cristiano selama enam bulan menggantikan Alaeddine yang ditamatkan kontrak selepas gagal memberi impak positif walaupun diberi peluang beraksi dalam tiga perlawanan liga musim ini.
“Alaeddine terpaksa diketepikan khidmatnya lebih awal sebelum berakhir jendela perpindahan kedua kerana faktor prestasinya tidak konsisten dan gagal mengemudi barisan pertahanan dengan baik,” kata Bibi Ramjani kepada Berita Harian.
“KAFA berharap dengan kemasukan Cristiano dapat membantu mengembalikan kekuatan jentera serangan dan cepat serasi bergandingan dengan Lazarus Kaimbi.
“Cristiano juga menjalani latihan fasa pertama hari ini di bawah kendalian pemangku jurulatih, Yusri Che Lah untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan pasukan.”
Ditanya sama ada Cristiano dapat beraksi menentang PKNS FC Selasa ini, Bibi Ramjani berharap pemain itu dapat diturunkan untuk menambahkan sengat jentera serangan.
“Kehadiran Cristiano yang mempunyai skil menggelecek dan larian pantas diharap dapat membantu pemain muda membina kembali kekuatan 200 peratus seterusnya melengkapkan misi memburu tiga mata penting menewaskan PKNS FC ,” katanya.